Kerajaan Perlu Perjelas Harga Tiket Penerbangan Ke Sabah, Sarawak Naik Mendadak

Datuk-Masiung-Banah.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Harga tiket penerbangan domestik bagi laluan Sabah dan Sarawak dilaporkan naik diluar jangkaan merupakan beban yang cukup berat terpaksa dipikul oleh rakyat, kata Wakil Rakyat Kuamut, Datuk Masiung Banah (gambar).

Beliau mempersoal tindakan syarikat penerbangan menaikan harga tiket secara mendadak sebaik sahaja aktiviti rentas negeri dan daerah diumumkan Kerajaan pada Isnin sedangkan harga bahan api dunia masih berada diparas rendah.

“Isu ini langsung tidak mencerminkan konsep Keluarga Malaysia,” katanya, sambil menambah Kementerian Pengangkutan perlu segera bertindak sebagai hero rakyat tanpa perlu berdolak-dalik.

Sebaik sahaja Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membenarkan aktiviti rentas negeri bermula 11 Oktober, beberapa syarikat penerbangan tambang murah menaikkan harga tiket melebihi dua kali ganda berbanding harga biasa.

Menurut Masiung, isu kenaikan harga tiket penerbangan domestik telah mengejutkan banyak pihak terutama pelajar, warga kerja dan peniaga di kedua-dua negeri Borneo.

Kata beliau, sepatutnya Kerajaan melalui Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (SJPM) menjadi juara rakyat dan mengawal kenaikan harga tiket yang tidak masuk akal.

Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) Sabah itu mendakwa beberapa syarikat penerbangan di negara ini sengaja mengambil kesempatan ‘meneguk di air keruh’ ekoran kebenaran aktiviti rentas negeri diumumkan Kerajaan pada Isnin.

“Mereka tahu rakyat tidak mempunyai pilihan, melainkan perlu membeli tiket penerbangan setelah dua tahun rentas negeri dan daerah tidak dibenarkan,” katanya.

Katanya, syarikat penerbangan sepatutnya mempromosi pakej mesra rakyat, bukannya mengambil kesempatan meraih keuntungan berganda.

Masiung meminta Kementerian Pengangkutan memberi penjelasan kepada rakyat mengenai kenaikan harga tiket sektor penerbangan melebihi dua kali ganda berbanding harga biasa.

Sementara itu, Utusan Malaysia semalam melaporkan, seorang penuntut Sabah di Unveraiti Sains Malaysia (USM) Serdang, Selangor, Esnita Sonie, 27, yang hendak balik ke Tawau Disember depan terkejut harga tiket tambang murah daripada RM600 bagi perjalanan dua hala, menjadi RM800 untuk perjalanan sehala.

“Saya teruja hendak balik ke Tawau setelah dua tahun tidak menemui keluarga kerana sekatan rentas negeri, namun harga tiket yang tinggi memang membebankan kedua orang tua saya,” jelas Esnita.

Seorang lagi anak perantau dari Bintulu, Sarawak, Hafiya Ajmin, 30, turut berdepan nasib sama apabila terpaksa mengumpul wang lebih membeli tiket dengan harga mahal untuk balik ke kampung halamannya.

“Kenaikan harga tiket tambang murah lebih dua kali ganda daripada harga biasa amat mengejutkan saya,” tambahnya. – Warta Oriental


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top