Kerajaan Perlu Atasi Isu ‘Kemiskinan Haid’

jannie_1534232043.jpg

Jannie

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Ketua Wanita DAP Sabah Jannie Lasimbang menggesa Putrajaya menangani isu “kemiskinan haid” dalam kalangan wanita dan gadis di bandar, yang dilihatnya semakin berlarutan susulan penularan wabak Covid-19.

Jannie yang juga ADUN Kapayan berkata, beliau sedih apabila media melaporkan seorang gadis dari Sabah terpaksa menggunakan pakaian lama ketika haid setiap bulan.

Katanya, tidak dinafikan ketika ini antara barangan bantuan biasa yang diminta oleh keluarga tidak berkemampuan adalah tuala wanita, memandangkan mereka tidak dapat membeli barang keperluan itu.

“Ini adalah masalah kesihatan serius, tanpa produk kebersihan yang betul, wanita dan gadis akan terdedah kepada jangkitan seperti jangkitan saluran kencing dan jangkitan yis.

“Banyak pantang larang berkaitan dengan haid yang masih diamalkan, mempengaruhi gadis-gadis secara negatif,” katanya dalam kenyataan.

Disember lalu, FMT melaporkan mengenai masalah dihadapi seorang gadis berusia 28 tahun dari Sabah, yang mengoyakkan secebis kain daripada baju lama untuk dijadikan tuala wanita selepas bekalannya habis.

Malah, akibat kemiskinan gadis itu bersama ibu dan adiknya terpaksa berkongsi 20 tuala wanita sebulan dan menggunakan kain sebagai pengganti.

Jannie berkata, akses terhadap produk kebersihan dan hak untuk menguruskan haid tanpa malu adalah asas bagi semua rakyat.

“Saya berharap kerajaan akan menyediakan produk kebersihan yang berpatutan harga, bebas cukai atau percuma untuk gadis-gadis di sekolah, dan wanita termasuk gelandangan yang memerlukan bantuan kewangan.

“Mereka juga mesti diberi akses yang lebih luas untuk pengurusan kebersihan haid,” katanya.

Menurutnya, semasa persidangan DUN pada Disember lalu, beliau sendiri sudah bertanya kepada pucuk pimpinan negeri, apakah mempunyai perancangan untuk memberikan tuala wanita secara percuma atau menghapuskan cukai tuala wanita.

“Tetapi jawapan yang saya terima adalah kerajaan tiada rancangan untuk memberikan tuala wanita secara percuma. Namun, kerajaan negeri mempunyai rancangan untuk membuat kajian indeks tentang kesejahteraan wanita,” katanya. – FMT

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top