Kerajaan Negeri Wakaf Tanah Di Kampung Lobou Bagi Atasi Masalah Tanah Perkuburan Islam Di KK

ariffin.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU : Tanah seluas 16 ekar di Kampung Lobou, Manggatal telah dijadikan sebagai tanah perkuburan Islam untuk masyarakat Bandaraya Kota Kinabalu berikutan tanah di sekitar ibu negeri itu tidak lagi mencukupi pada ketika ini.

Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Arifin Arif berkata, berikutan situasi itu, kerajaan negeri telah mewartakan kawasan yang dikenalpasti itu untuk dijadikan sebagai tanah perkuburan Islam masyarakat Bandaraya Kota Kinabalu.

Jelas beliau, tanah tersebut diyakini dapat menampung keperluan masyarakat Bandaraya Kota Kinabalu termasuk penduduk di sekitar Menggatal dalam tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang.

“Kerajaan Negeri telah mewakafkan tanah seluas 16 ekar ini kepada Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) sebagai alternatif bagi mengatasi masalah berhubung tanah perkuburan di sekitar bandaraya ini.

“Tanah ini tidak dikhususkan untuk Manggatal sahaja tetapi juga dibuka untuk masyarakat di sekitar bandaraya Kota Kinabalu yang dijangka dapat menampung keperluan berkenaan sehingga 20 tahun nanti, ” katanya kepada Utusan Borneo.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Utusan Borneo selepas mengadakan lawatan ke Tanah Perkuburan Islam Kampung Lobou bagi membincangkan beberapa perkara bersama jawatankuasa tanah perkuburan dengan MUIS dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS).

Dalam perkembangan sama, Arifin turut memuji jawatankuasa Tanah Perkuburan Islam Kampung Lobou atas usaha yang telah dilaksanakan dalam memastikan tanah tersebut dimanfaat sebaiknya (tidak sesak) dan dalam keadaan yang teratur.

Justeru itu, beliau turut meminta MUIS dan JHEAINS supaya terus memantau tanah perkuburan itu dan pada masa membimbing jawatankuasa tersebut agar dapat mengindahkannya lagi tempat terbabit agar ianya dapat dijadikan sebagai contoh kepada tanah perkuburan yang lain.

Semasa pertemuan bersama jawatankuasa itu, Arifin turut memberitahu akan mencari peruntukan bagi menaiktaraf sebahagian tanah perkuburan seluas tujuh ekar yang terletak dibawah bukit untuk diratakan dan ditinggikan bagi memastikan kawasan itu tidak dilanda banjir pada masa akan datang. – Utusan Borneo


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top