Kerajaan negeri wajar ambil alih pengurusan LTAKK

KKIA.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew mencadangkan agar kerajaan negeri mengambil alih pengurusan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK).

Katanya, cadangan itu membabitkan syarikat milik kerajaan atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi menyediakan perkhidmatan yang lebih cekap dan berkesan memandangkan keadaan terkini LTAKK yang kurang memuaskan.

“Kemudahan serta fasiliti mesra pengguna di LTAKK dilihat mendesak dan perubahan ini hanya boleh dilakukan dengan adanya pihak pembekal perkhidmatan terhadap pengurusan lapangan terbang yang berkualiti.

“Sabah sudah menunggu bagi tempoh masa yang agak lama untuk penambahbaikan di LTAKK, bagaimanapun sehingga kini ia belum dicapai,” katanya.

Menurutnya, LTAKK adalah lapangan terbang kedua terbesar di negara ini dan mempunyai lapangan terbang bertaraf antarabangsa dengan kemudahan yang kurang memuaskan tidak boleh diterima.

“Lebih memalukan apabila ribuan pelancong tiba di negeri ini hanya disambut dengan perkhidmatan atau kemudahan yang tidak mencukupi.

“Sabah adalah salah satu destinasi pilihan pelancong domestik dan antarabangsa di rantau ini, dalam beberapa tempoh akan datang LTAKK akan mencapai kapasiti maksimum seiring kadar semasa pertumbuhan pelancongan dalam negara,” katanya.

Beliau berkata, LTAKK pada 2019 mencapai kapasiti maksimum membabitkan sembilan juta penumpang pada musim pra-pandemik.

“Oleh itu, kemudahan sedia ada bukan sahaja tidak mencukupi malah jauh dari tahap memuaskan dan LTAKK jelas memerlukan pengubahsuaian segera.

“Permintaan berulang daripada Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS) untuk kerja-kerja menaik taraf lapangan terbang masih belum dimaklumkan dan dikendalikan dengan betul sehingga kini,” katanya.

Tambahnya, masalah terbabit termasuklah berkaitan dengan pencahayaan lapangan terbang, penghawa dingin, tandas, troli bagasi serta sistem pengumuman yang belum ditangani dengan berkesan.

Katanya, ruang yang disediakan untuk kedai makanan di lapangan terbang masih belum digunakan sepenuhnya.

“Isu ini sudah dipanjangkan kepada Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor dan beliau bersetuju dengan keperluan mendesak untuk menambah baik kemudahan di LTAKK.

“Kita harapkan agar kerajaan akan membuat tindakan susulan terhadap permintaan untuk menaik taraf terminal LTAKK memandangkan jumlah kejadiran pelancong domestik dan antarabangsa ke Sabah semakin meningkat.

“Dengan perhubungan udara yang lebih baik dan kekerapan penerbangan yang meningkat setiap minggu, jumlah pelancong dijangka melebihi sasaran sebanyak 2.2 juta yang ditetapkan untuk 2023,” katanya sambil menambah Sabah menyasarkan seramai 2.8 juta pelawat tiba di sini pada 2024.

Sementara itu, bercakap mengenai cadangan penempatan semula LTAKK di Tuaran, Christina berkata, Tuaran adalah lokasi yang sesuai membabitkan beberapa faktor berdasarkan maklum balas orang ramai dan pihak pelancong.

“Tuaran terletak sangat dekat iaitu kira-kira 40 kilometer dari ibu negeri manakala Kimanis berada 80 kilometer dari Kota Kinabalu, faktor jarak serta hotel peranginan antarabangsa bertaraf lima bintang dengan pemandangan pantai yang cantik sesuai untuk pembinaan LTAKK baharu,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Christina memaklumkan beberapa projek pembangunan berkaitan pelancongan dijangka dimulakan pada 2024.

“Ini termasuklah chalet baharu di Pulau Manukan, penambahbaikan Taman Hidupan Liar Lok Kawi, menaik taraf Pusat Pemulihan Orang Utan Sepilok dan Kolam Air Panas Poring, cadangan Kampung Budaya di Kinarut, Bangunan Wisma Budaya baharu dan cadangan Koridor Makanan Gajah di Santuari Hidupan Liar Hilir Kinabatangan.

“Pada masa sama, KePKAS bersama Lembaga Pelancongan Sabah (STB) akan meneliti pembangunan produk pelancongan baharu di negeri ini termasuk pelancongan sukan dan perubatan serta lawatan hidupan liar safari dan tumpuan lokasi memakan buah durian,” katanya.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top