KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri telah dan sedang melaksanakan beberapa inisiatif untuk pembangunan golongan wanita di Sabah.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Ir. Shahelmey Yahya berkata, inisiatif-inisiatif ini dilaksanakan melalui Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA) yang merupakan sebuah jabatan di bawah kementerian beliau.
Antaranya ialah Program Pembangunan Ibu Tunggal, Program Kepimpinan Wanita Berwibawa, Program Pembangunan Kumpulan Pakar Gender, Program Outreach Santuni Wanita: “Merakyatkan Perkhidmatan ke Arah Kesejahteraan Wanita” serta beberapa program lain lagi.
“Program-program ini telah mencapai kumpulan sasar.
“Pihak kementerian dan jabatan akan sentiasa pro-aktif untuk terus memikirkan program-program yang dapat memberi kesan langsung kepada golongan sasarnya,” katanya semasa merasmikan pembukaan Program Bootcamp Sabah Women of Tomorrow 2022 (SWOT-22) anjuran Women Leadership Foundation (WLF) dan Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS) di Rose Garden, Magellan Sutera Harbour, di sini, Isnin le[as. Teks ucapannya dibacakan oleh Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Julita Majungki.
Shahelmey berkata, bagi memperkasa kepimpinan wanita yang kini telah menjadi agenda nasional, Sabah juga tidak terkecuali dari mengangkat perkara itu menjadi satu agenda penting dalam amanah yang dipikul oleh kementeriannya.
Menurutnya, Program Kepimpinan Wanita Berwibawa bermatlamat untuk meningkatkan jumlah dan peratusan penglibatan wanita di peringkat pembuat keputusan di pelbagai peringkat kepimpinan, meliputi sektor awam dan sektor korporat.
“Ini bagi mencapai sasaran 30 peratus penyertaan wanita di peringkat pembuat keputusan di peringkat negeri, selaras dengan Dasar Wanita Negara.
“Dengan penyertaan 30 peratus ini, diharapkan isu-isu dan keperluan wanita dapat diketengahkan agar jurang gender dapat dirapatkan,” katanya, sambil menambah, Kerajaan Negeri sentiasa mengiktiraf sumbangan golongan wanita berdasarkan merit dan pencapaian mereka.
“Malah, kementerian saya dalam pelan jangka panjang pula, akan memastikan pemerkasaan wanita melalui Pelan Induk Pembangunan Wanita Sabah dan akan mewujudkan Akademi Kepimpinan Wanita bagi memacu pembangunan wanita di negeri ini.
“Antara tujuannya adalah untuk melahirkan lebih ramai pemimpin-pemimpin dan pembuat keputusan dalam polisi Kerajaan. Sekaligus, ia membantu memartabat dan memperkasakan wanita dalam pelbagai aspek,” jelasnya.
Kerajaan Negeri Sabah telah meperuntukkan sebanyak RM17.61 juta untuk pelaksanaan program pembangunan wanita dalam Belanjawan Negeri 2022, sebagai menghargai sumbangan besar wanita.
Mengenai SWOT-22, Shahelmey berkata, program ini adalah langkah permulaan bagi kerjasama padu yang boleh diteruskan di antara Kerajaan Negeri Sabah, melalui Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, dengan Women Leadership Foundation atau WLF.
“Menerusi perkongsian dalam Boothcamp ini, saya yakin para peserta akan mendapat suntikan motivasi baharu untuk meletakkan sasaran yang lebih tinggi dalam karier mahupun perniagaan. Ini termasuklah meneroka bidang-bidang baharu dalam keusahawanan.
Kredit foto: SABAHitz On9 TV