Kerajaan negeri sambut baik inisiatif KTYS membangun program dan kursus baharu

jeffrey-ktys.png

Kredit foto: Jeffrey G. Kitingan Page

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri menyambut baik inisiatif Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS) untuk sentiasa membangunkan program dan kursus baharu terutama sekali dalam bidang-bidang yang khusus seperti pengurusan air.

Mengalu-alukan langkah KTYS mengadakan kolaborasi bersama Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G. Kitingan berkata ia menjadikan kolej itu sebagai kolej yang pertama di Sabah melaksanakan program dengan pengkhususan ini.

Dr Jeffrey yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah berkata demikian di Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara Kolej Teknologi Yayasan Sabah, Jabatan Air Negeri Sabah dan PBA Resources Sdn. BHd., di Shangri-La Tanjung Aru Resort & SPA, semalam.

Jelasnya pemilihan untuk bekerjasama dengan pihak PBA membuka peluang KTYS dan JANS untuk berkongsi pengalaman dan para pelajar dapat belajar serba sedikit kejayaan PBA dalam pengurusan bekalan air Pulau Pinang.

Katanya Pulau Pinang tidak mempunyai banyak sungai dan perlu bergantung kepada Sungai Muda Kedah untuk sumber air mentah tetapi masih mampu mengurus bekalan air di Pulau Pinang dengan lebih baik.

“Inilah yang perlu kita pelajari dan contohi di Sabah yang mempunyai banyak sungai.

“Saya percaya masalah pengurusan air di Negeri Sabah bukan sahaja berpunca daripada infrastrukur yang perlu dibina dan dinaik taraf, tetapi juga daripada soal kecekapan bahagian sumber manusia yang perlu ditingkatkan,” katanya.

Mengenai MOU yang ditandatangani beliau berkata ia menunjukkan komitmen dan kesungguhan KTYS dalam menyumbang kepada peningkatan kualiti ilmu dan kemahiran para pekerja Jabatan Air Negeri Sabah yang merupakan tunggak kepada kualiti sumber manusia atau modal insan di Sabah.

“Ia sangat tepat dengan keperluan negeri ini yang masih dibelenggu masalah pengurusan air,” ujarnya.

Sementara itu Jabatan Air Negeri Sabah akan memberi komitmen yang tinggi dalam membantu untuk menjayakan program kursus itu dengan menyediakan loji-loji dan empangan yang sedia ada sebagai lokasi untuk menjalankan sebarang latihan praktikal mahupun amali untuk para peserta program.

Menurutnya yang menarik dalam program tersebut ialah para pesara dan bakal pesara dari Jabatan Air Negeri Sabah diberi peluang mengikuti program, justeru membantu menjana pendapatan tambahan selain daripada pencen untuk perbelanjaan hidup dan simpanan persaraan mereka.

Selain itu katanya, komitmen dan kesediaan Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri membantu dalam pembiayaan penggajian akan membantu para peserta dan menggerakkan lagi program tersebut.

“Inilah bukti komitmen tinggi Kerajaan Negeri untuk mengangkatkan ilmu, tahap kemahiran dan kecekapan para kakitangan kerajaan negeri.

“Saya juga difahamkan ada usaha-usaha dibuat oleh KTYS untuk membangunkan kursus baharu dalam bidang petroleum atau minyak dan gas untuk melatihkan modal insan sabah menceburi khasnya dalam bidang Petroleum “Upstream”.

“Langkah ini amat diperlukan memandangkan Sabah menghasilkan lebih kurang 60% daripada minyak mentah Malaysia yang bernilai RM35-RM40 billion setiap tahun.

“Kerajaan Sabah dan saya mengalu-alukan dan akan menyokong segala usaha untuk membangun modal insan Sabah khasnya dalam industri-industri strategik yang boleh memajukan Sabah, negara tercinta kita,” katanya.

Hadir bersama ialah Pengerusi Eksekutif Innoprise Corporation Sdn Bhd, Datuk Jasnih Daya; Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah KKYS Sdn. Bhd.; Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah, Haji Suhaimi Haji Asbullah; Pengarah PBA Resources Sdn. Bhd., Ir. Pathmanathan K.; dan Ketua Bahagian Sumber Manusia PBA, Mohammad Zulkifli Abdul Hamid.

 

Sumber: Jeffrey G. Kitingan Page

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top