Kerajaan negeri salur RM15 juta bantu perkasa IKS di Sabah – Hajiji

nizam-1.jpg

TAWAU: Kerajaan negeri Sabah memperuntukkan RM15 juta bagi menyokong, memperkasa serta memantapkan lagi Program Bantuan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di Sabah, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau berkata selain itu RM6.17 juta diperuntukkan kepada Jabatan Pembangunan dan Penyelidikan bagi mempergiatkan promosi produk Sabah, serta RM7.1 juta kepada Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (Sedco) bagi meneruskan usaha menyedia dan membangunkan premis perniagaan, kedai-kedai sosio-ekonomi termasuk penganjuran program keusahawanan tahun ini.

Antara hadirin di majlis perasmian Karnival Keusahawanan dan Kerjaya (SabahFEC) 2023 Zon Pantai Timur.

“Justeru itu saya mahu usahawan merebut peluang yang disediakan kerajaan, di samping meningkatkan ilmu dan kemahiran agar produk mereka mampu bersaing hingga ke peringkat antarabangsa,” katanya menerusi teks ucapan yang dibacakan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan pada majlis perasmian Karnival Keusahawanan dan Kerjaya (SabahFEC) 2023 Zon Pantai Timur di sini, pada Sabtu malam.

Karnival SabahFEC itu dianjurkan oleh Exco Wanita Biro Keusahawanan Wanita Negeri Gagasan Rakyat dengan Kerjasama Persatuan Double A Martial Arts Tawau.

“SabahFEC merupakan platform terbaik untuk pencari kerja dan usahawan memanfaatkan kemudahan sekali gus memperkasa ekonomi diri, antaranya mendapatkan maklumat bantuan geran dana usahawan, khidmat pengurusan kewangan termasuk peluang kerjaya,” kata Hajiji.

Katanya beliau mahukan supaya pelaksanaan SabahFEC diperluskan ke zon-zon lain di Sabah, agar lebih ramai rakyat mendapat manfaatnya. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top