Kerajaan negeri perlu jelaskan status perlombongan di Bukit Mantri, Balung

ghazali-ansing.jpg

Ghazalie (Gambar fail)

Kongsi Bersama

TAWAU: Kerajaan negeri perlu menjelaskan status kawasan aktiviti perlombongan emas di Bukit Mantri, Balung di sini yang didakwa dijalankan secara haram.

Ketua Bahagian UMNO Tawau Ghazalie Ansing berkata, penduduk mendakwa aktiviti perlombongan di kawasan berkenaan tidak dijalankan secara betul sehingga menyusahkan mereka.

“Saya telah membaca laporan media yang menyatakan terdapat penduduk di kawasan berkenaan mengalami sakit dan muntah akibat terhidu sisa toksik yang berpunca kegiatan lombong berkenaan.

“Penduduk terbabit juga menggesa pihak berkuasa supaya menutup operasi kegiatan perlombongan emas berkenaan yang didakwa menjejaskan kesihatan mereka,” katanya dalam kenyataan media, semalam.

Katanya, aktiviti melombong di kawasan berkenaan perlu disiasat kerana ia sudah memberi mudarat kepada penduduk kampung berhampiran.

“Sekiranya aktiviti melombong di kawasan itu dijalankan secara haram, pihak kerajaan negeri perlu mengambil tindakan drastik untuk menutup segera operasi berkenaan.

“Namun, sekiranya aktiviti itu mendapat kebenaran kerajaan negeri, ia perlu disiasat sama ada aktiviti berkenaan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ataupun tidak,” katanya.

Ghazalie berkata, sampai bila kegiatan itu terus menghantui penduduk yang jika dibiarkan boleh mengundang kesan negatif terhadap kesihatan mereka yang tinggal berhampiran.

“Saya agak musykil kerana aktiviti melombong itu masih dibenarkan walaupun ada aduan penduduk mengenai masalah pencemaran di kawasan ini.

“Jangan sampai ada nyawa yang melayang akibat kegiatan ini, baru mau menjalankan siasatan secara terperinci.

“Justeru, pihak berkuasa terutamanya Jabatan Alam Sekitar (JAS) Tawau perlu turun memantau tahap kualiti udara di sekitar kawasan lombong berkenaan,” katanya.

Terdahulu, sebuah portal berita tempatan, hari ini melaporkan terdapat penduduk yang mengalami sakit dan muntah akibat terhidu sisa toksik kegiatan lombong haram di Bukit Mantri, Balung. – Utusan Borneo

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top