Kerajaan Negeri Perlu Fokus Kepada Tiga Inisiatif Untuk Gandakan Pertumbuhan Ekonomi – Salleh

SSK-dewan.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri disaran untuk memberi fokus kepada tiga inisiatif bagi menggandakan Keluaran Dalam Negeri Kasarnya (KDNK) tahun depan.

Ketika membuat gesaan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak berkata, pertamanya Sabah perlu memberi tumpuan kepada usaha menarik lebih banyak pelaburan berimpak tinggi menerusi pelbagai strategi pelaburan termasuk dasar inisiatif ketika negara ini berdepan pandemik Covid-19.

Beliau berkata, langkah seterusnya ialah mentransformasikan ekonomi negeri ini kepada yang lebih kompetitif.

Bagi mencapai tujuan itu, Salleh menyeru Kerajaan meningkatkan tahap produktiviti, memajukan lagi industri hiliran selain mewujudkan industri baharu yang melibatkan penyertaan aktif sektor swasta.

“Misalnya dalam bidang pertanian, kita perlu meningkatkan kualiti dan kuantiti produk makanan hiliran untuk memenuhi permintaan domestik dan pasaran ekspot ,” katanya ketika membahaskan Belanjawan Sabah 2022 di Persidangan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Salleh yang juga bekas Ketua Menteri Sabah turut menekankan pentingnya Kerajaan memudahkan kemasukan pelaburan.

“Pihak Kerajaan perlu cekap untuk memudahkan kemasukan pelaburan dan memastikan kos menjalankan perniagaan atau ‘cost of doing business’ adalah berdaya saing dan lebih menarik berbanding tempat lain di rantau ini,” katanya.

Sehubungan itu, beliau juga menekankan kepentingan autonomi ekonomi atau ‘economic autonomy’ untuk Sabah.

“Semua aspek keputusan berkaitan pematuhan undang-undang, dasar pelaburan, kelulusan pelaburan, promosi pelaburan dan promosi eksport seharusnya boleh dibuat di peringkat Kerajaan Negeri Sabah,” katanya.

Menurutnya, pendekatan itu berupaya meningkatkan kecekapan pengurusan dan menyokong aktiviti pelaburan dan eksport. – Warta Oriental

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top