Kerajaan Negeri Perlu Diberi Kuasa Urus Peruntukan – DARD

dard.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Negeri perlu diberikan kuasa menguruskan peruntukan pembangunan sendiri demi mempercepat pelaksanaan projek.

Utusan Malaysia dalam laporannya memetik Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan sebagai berkata, isu penurunan kuasa membabitkan pengurusan peruntukan itu kepada kerajaan negeri akan dibawa dalam Konvensyen Barisan Nasional (BN), hari ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri lebih mengetahui keutamaan di negeri masing-masing, maka wajar jika peruntukan kewangan diuruskan mereka sendiri.

Katanya, sudah tiba masanya hubungan antara kerajaan pusat dan negeri dari segi pentadbiran, pengurusan dan pembangunan dilihat semula bagi memastikan wujud keseimbangan dalam pembangunan di negara ini.

“Kita perlu berfikir di luar kotak dan tampil dengan semangat, pemikiran dan cara baharu untuk menguruskan negara ini.

“Kita tidak boleh bergantung dengan cara lama kerana jika rakyat mahukan perubahan dari segi penurunan kuasa, kita perlu bergerak seiring dengan kehendak rakyat,” katanya.

Katanya, beliau antara pendokong kepada idea penurunan kuasa agar tanggungjawab mengurus peruntukan pembangunan diturunkan kepada semua negeri, bukan hanya kepada Sabah.

Mengulas lanjut katanya, demi kelangsungan BN di Sabah, perubahan sebegitu perlu dilakukan agar BN terus kekal rasional.

Rahman berkata, BN juga perlu terus memperjuangkan hak negeri bagi meletakkan Sabah sebagai negeri penting dalam pertumbuhan ekonomi negara.

“Kita mahu menjadikan Sabah sebagai negeri yang membangun dari segi ekonomi dengan memanfaatkan keluasan tanah, kekayaan hasil bumi dan kedudukan geografi Sabah untuk lebih maju,” katanya.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top