Kerajaan negeri, MOTAC perlu berbincang isu pelancongan Sabah

christina.jpg

Christina ketika hadir pada sambutan ulang tahun ke-25 PKR.

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri perlu membuat perbincangan mengenai kawalan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) terhadap industri pelancongan di Sabah.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew berkata, ia perlu bagi menentukan sejauh mana peranan MOTAC terhadap industri pelancongan di negeri ini.

Katanya, Menteri Pelancongan, Kesenian dan Pelancongan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah juga sudah mengeluarkan kenyataan berhubung perkara ini.

“Isu pelancongan perlu dipandang serius oleh kerajaan Persekutuan dan negeri supaya industri ini terus memberikan impak positif kepada negara.

“Justeru, saya bersetuju bahawa Sabah dan Sarawak perlu berunding dengan kerajaan Persekutuan mengenai peranan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sambutan ulang tahun ke-25 Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pesta Kaamatan, di sini pada Ahad. Turut hadir, Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar.

Mengulas lanjut, katanya, proses menuntut hak Sabah dan Sarawak masih belum terlambat, malah ia perlu dilakukan demi kebaikan semua pihak.

“Saya juga akan membawa perkara ini kepada Ketua Menteri Sabah dan ia juga perlu diusulkan dalam mesyuarat Perjanjian Malaysia 1963,” katanya.

Dalam pada itu, Christina berkata, sambutan ulang tahun ini bagi meraikan perjuangan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menuntut keadilan dan kesejahteraan negara.

“Anwar adalah tokoh dalam politik Malaysia selama beberapa dekad yang banyak memperjuangkan keadilan dan memberi inspirasi kepada orang ramai.

“Saya berharap di bawah kepimpinan Anwar dapat mewujudkan Malaysia yang lebih inklusif dan demokratik,” katanya. – Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top