Kerajaan Negeri Meterai Tiga MoU Libatkan Pelabur SIBES 2022

IMG_20220118_174736.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri menandatangani tiga Memorandum Persefahaman (MoU) melibatkan Yayasan Sabah, Kementerian Pertanian dan Perikanan serta Kementerian Pembangunan Perindustrian (MID).

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor menyaksikan majlis menandatangani MoU itu bersama para pelabur sempena Sidang Kemuncak Perniagaan dan Ekonomi Antarabangsa Sabah (SIBES) 2022 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini hari ini.

MOU yang pertama adalah antara Kerajaan Negeri menerusi Kementerian Pertanian dan Perikanan Sabah dan BorneoMed Sdn. Bhd. bagi membangunkan Integrated Herbal Plantation (SIHP), dengan pelaburan bernilai RM350 juta.

Kementerian Pertanian diwakili oleh Setiausaha Tetapnya, Datuk Dr. Mariana Tinggal dan Peguam Besar Negeri, Datuk Nor Asiah Mohd. Yusof selaku saksi, sementara BorneoMed diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Fauzi dan disaksikan oleh Pengarah Eksekutif syarikat, Francis Sina.

Pelaburan BorneoMed termasuklah dalam teknologi komersil seperti bahan penanaman, teknologi penanaman berketumpatan dan hasil tinggi, sistem Internet Perkara (IOT), pendigitan pertanian pintar, peralatan pemprosesan komersial, sistem pergudangan serta prasarana dan kemudahan lain.

MOU kedua pula antara Kerajaan Negeri menerusi Kementerian Pembangunan Perindustrian Sabah (MID) dan pelabur dari China-SBH Kibing Solar New Materials (M) Sdn. Bhd. bagi membangunkan kilang memproses pasir silica dan menghasilkan panel solar dengan nilai pelaburan permulaan sebanyak RM2 billion.

Menandatangani MOU itu bagi pihak MID ialah Setiausaha Tetapnya, Thomas Logijin dan Peguam Besar Negeri, Datuk Nor Asiah Mohd Yusof selaku saksi, manakala SBH Kibing Solar New Materials (M) Sdn. Bhd. diwakili oleh Presidennya, Lin Hai dan Ketua Pegawai Eksekutif SBH Kibing, Yao Xin Xi selaku saksi.

Projek pemprosesan pasir silika dan pembuatan panel solar ini akan membuka 2,000 peluang pekerjaan, di mana 80% akan dikhaskan untuk pekerja tempatan.

Keseluruhan operasi dijangka akan dimulakan pada tahun 2024.

Lokasi kilang panel solar ini akan ditentukan kemudian sama ada di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) atau di Sipitang Oil and Gas Industrial Park (SOGIP), yang memerlukan keluasan 130 ekar.

Kejayaan merealisasikan cadangan pelaburan SBH Kibing Group (M) Sdn Bhd adalah hasil kerjasama MID dengan jabatan dan agensi kerajaan negeri dan persekutuan yang terlibat dalam memudahkan proses pelaburan.

MOU ketiga adalah antara Yayasan Sabah dan Pavilion Kota Kinabalu Sdn. Bhd. untuk pembangunan Pavilion Harbour City dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM2 bilion.

Yayasan Sabah diwakili oleh Pengarah merangkap Pengerusi Eksekutif Innoprise Corporation Sdn. Bhd., Datuk Haji Gulamhaidar @ Yusof Khan Bahadar, disaksikan oleh Setiausaha Korporat Yayasan Sabah, Hanafiah Diman. Manakala Pavilion Kota Kinabalu Sdn. Bhd. pula diwakili oleh Pengarahnya, Haji Jameson Pias, dan disaksikan oleh Timmy Gan Ve Li, (Pengurus Besar Pavilion Kota Kinabalu Sdn. Bhd.)

Pavilion Kota Kinabalu Sdn. Bhd., rakan sekutu Kumpulan Pavilion, merupakan sebuah syarikat dan pemaju berpengalaman terkenal dalam pembangunan komersial dan kediaman mewah.

Pembangunan ini meliputi kawasan atas laut (sea-land) seluas 30 ekar bersebelahan sempadan Timur Laut SICC dan bakal siap dalam tempoh sepuluh tahun.

Pavilion Harbour City merangkumi kediaman, restoran tepi laut, pasar nelayan, hotel mewah untuk penginapan, peranginan serta aktiviti rekreasi.

Jumlah peluang pekerjaan ketika pembangunan dijalankan dianggarkan kira-kira 1,000 orang, manakala lebih kurang 2,000 orang akan mendapat peluang pekerjaan setelah pembangunan selesai kelak.

 

 

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top