TUARAN: Lima permohonan projek pembangunan diluluskan kerajaan negeri membabitkan peruntukan keseluruhan RM980,000 untuk daerah kecil Tamparuli, di sini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor berkata selain RM200,000 peruntukan untuk projek naik taraf kawasan lapang trek joging dengan menjalankan kerja penurapan tapak, turut diluluskan projek penyelenggaraan luaran dan dalaman termasuklah menaik taraf tandas awam di Dewan Tun Hamdan Tamparuli membabitkan kos RM150,000.
Satu lagi projek, katanya adalah pemasangan sambungan elektrik membabitkan pembinaan pengubah kuasa bernilai RM250,000.
“Kerajaan negeri turut meluluskan projek pemasangan lampu solar di penghujung Jambatan Tamparuli bernilai RM30,000, selain projek pembinaan semula Mahkamah Anak Negeri Tamparuli bernilai RM350,000,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan program Lawatan Kerja ke Tamparuli, di sini, pada Ahad.
Dalam lawatan sama, Hajiji turut merasmikan Majlis Pecah Tanah bangunan Mahkamah Anak Negeri Tamparuli, serta menandatangani plak memperingati pembukaan rasmi trek Bukit Perahu di Kampung Ruhiang, Tamparuli.
Selain mengadakan lawatan di Jambatan Gantung Tamparuli yang menjadi mercu penduduk sekitar, beliau turut menyaksikan persembahan tarian kebudayaan melihat lukisan mural.
“Lukisan mural dan tarian ini adalah inisiatif untuk menjadikan jambatan ikonik itu lebih menarik kepada pengunjung,” katanya yang mengesahkan akan melawat lebih banyak kawasan di daerah Tuaran termasuklah Tamparuli dan Kiulu selepas 1 April nanti.