KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri komited memperkukuh jaringan ekonomi digital di bandar dan luar bandar berikutan Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0), kata Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.
Peralihan kepada IR 4.0, katanya, telah mengubah landskap pasaran buruh di seluruh dunia termasuk di Sabah.
Katanya, penyesuaian terhadap peralihan teknologi dijangka berlaku lebih pantas selepas pandemik Covid-19, dengan permintaan untuk pekerjaan perburuhan dijangka menurun, berikutan peningkatan permintaan untuk pekerjaan yang melibatkan penggunaan teknologi dan kemahiran baharu.
“Di Sabah sendiri, pelbagai industri mahu mengambil kesempatan daripada pembangunan pasaran digital, dan transformasi digital ini. Landskap pekerjaan masa depan juga tanpa sempadan.
“Dengan perubahan ini, kerajaan Sabah kini dalam proses memperkukuh rangkaian ekonomi digital di kawasan bandar dan luar bandar, dengan pelaksanaan rangka kerja strategik dan pelan tindakan telah dirancang dan dilaksanakan,” katanya pada perasmian Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) ke- 22, di Dewan Canselor UMS, pada Sabtu.
Hajiji, yang juga Pro Canselor universiti itu, berkata UMS telah diamanahkan oleh Kerajaan Sabah untuk menjadi penyelaras Pusat Kecemerlangan Sabah yang bertindak sebagai penggerak utama bagi pembangunan pendidikan serta teknologi di negeri ini.
Selaras dengan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya 2021-2025, Hajiji berkata UMS telah pun menyediakan graduan dengan kemahiran dan nilai yang tinggi sebagai bekalan untuk menghadapi realiti pekerjaan dan persekitaran masyarakat kreatif masa kini.
Menurutnya, graduan dituntut mampu menyumbang tenaga atau sekurang-kurangnya idea yang boleh memberi impak positif kepada masyarakat dan pembangunan negeri dan negara.
Hajiji turut menegaskan bahawa graduan perlu bersaing, menghadirkan diri ke alam pekerjaan dan mendidik diri untuk melakukan yang terbaik, kerana menamatkan pengajian di universiti bukanlah hentian terakhir dalam menuntut ilmu.