Kerajaan negeri komited martabatkan seni, budaya persatuan etnik

datuk-nizam.jpg

Nizam (kanan) memalu gong sebagai simbolik merasmikan majlis berkenaan.

Kongsi Bersama

SEMPORNA: Kerajaan negeri akan terus memberi sokongan serta membantu mempromosikan seni dan kebudayaan persatuan etnik yang ada di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, komitmen kerajaan negeri ini adalah usaha bagi memartabatkan seni dan budaya di Sabah.

Katanya, semua persatuan etnik diharap terus memelihara budaya mereka bagi memastikan ia tidak pupus dan boleh diwarisi generasi akan datang.

“Sabah sendiri mempunyai keunikan dan kepelbagaian seni serta budaya dengan 35 etnik dan 217 sub etnik yang dikenal pasti.

“Ia sudah pasti mempunyai banyak khazanah seni dan budaya yang boleh diketengahkan serta dipromosikan sebagai produk pelancongan di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam majlis perasmian Majlis Gemilang Budaya Bajau Merentas Dunia: Festival Melodi Warna Kebudayaan dan Seni Tradisi Bajau, di sini pada Sabtu.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.

Menurutnya, selaras dengan inisiatif Hala Tuju Sabah Maju Jaya, salah satu daripada tujuh keutamaan untuk dilaksanakan adalah memperkasakan Culture Pit-Stop (CPS) atau Program Hentian Budaya.

“Program ini adalah bagi membina dan menggalakkan industri pelancongan melalui aktiviti kebudayaan di setiap daerah seluruh Sabah.

“Justeru, kerajaan sangat menggalakkan program seperti yang diadakan malam ini, sebagai usaha untuk memartabatkan seni dan budaya rumpun etnik Bajau di negeri ini,” katanya.

Hajiji berkata, festival kesenian dan kebudayaan adalah elemen penting dalam menentukan kejayaan sesebuah bangsa serta dapat memupuk semangat perpaduan masyarakat berbilang bangsa dan agama.

Katanya, perpaduan ini dapat dicapai menerusi kebudayaan seperti tarian dan muzik yang memerlukan kerjasama berpasukan.

“Tanpa kerja berpasukan, sesebuah tarian dan alunan muzik itu tidak dapat dipersembahkan dengan baik serta menarik perhatian orang ramai.

“Begitu juga dengan hidup bermasyarakat berbilang kaum dan agama memerlukan sikap bersatu padu untuk mencapai pembangunan kemajuan negeri ini,” katanya. – Utusan Borneo

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top