Kerajaan negeri komited bangunkan Sabah secara produktif

Sabah-produktif.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri mengambil inisiatif menganjurkan ‘Program Sabah Produktif’ sebagai usaha untuk membangunkan Sabah secara produktif.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Dr. Ahemad Sade berkata, program ini dilaksanakan melalui Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Wilayah Sabah.

Katanya, MPC buat julung kalinya menerbitkan Laporan Produktiviti Negeri Sabah 2022 yang dilancarkan di Shangri-La Tanjung Aru, Sabah pada 19 Oktober, lepas.

“Ia turut melibatkan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Sekretariat Sabah Maju Jaya (SSMJ) serta pelbagai pihak berkepentingan di peringkat agensi kementerian, swasta, dan pertubuhan bukan kerajaan.

“Program ini dilaksanakan demi peningkatan potensi negeri Sabah sebagai destinasi mesra pelabur, perniagaan yang kondusif dan tadbir urus yang cekap,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan buku Laporan Produktiviti Negeri Sabah 2022, di sini pada Khamis lepas.

Menurutnya, prestasi ekonomi Sabah sepanjang tempoh 2006 hingga 2022 berkembang secara sederhana pada kadar 3.4 peratus setahun berbanding Malaysia yang tumbuh pada kadar 4.1 peratus.

“Pertumbuhan produktiviti keseluruhan Sabah juga berada pada paras sederhana menguncup kepada 0.5 peratus setahun berbanding purata nasional akibat kesan daripada pandemik COVID-19.

“Hal ini memerlukan intervensi berteraskan produktiviti bagi mempertingkat potensi pengembangan aktiviti ekonomi negeri,”katanya.

Katanya, pendekatan perancangan dan pembangunan yang bersandarkan kepada andaian ‘one size fits all’ tidak selalunya berfungsi pada peringkat negeri.

“Perbezaan dalam struktur ekonomi, keunikan faktor pengeluaran dan magnitud kesalingbergantungan sektor ekonomi menjadi keperluan kepada penilaian spesifik produktiviti di peringkat negeri Sabah.

“Sektor ekonomi secara keseluruhannya mencatatkan pertumbuhan produktiviti yang positif kecuali sektor perlombongan dan pengkuarian,” katanya.

Sementara itu, katanya, sektor pertanian menyumbang sebahagian besar kepada produktiviti Sabah sepanjang tempoh 2016 hingga 2019 dengan catatan purata pertumbuhan sebanyak 6.7 peratus setahun.

Ahemad yakin, MPC mampu menyokong Hala Tuju Strategik Perancangan Negeri Sabah yang meliputi tiga sektor utama iaitu pertanian, perindustrian, dan pelancongan.

Katanya, kerajaan negeri komited mahu melonjakkan produktiviti dan daya saing kerana ia penting dalam memacu pembangunan serta pertumbuhan ekonomi baru seperti ekonomi hijau dan ekonomi digital.

“Tema ‘Menuju Sabah Maju Jaya Berteraskan Produktiviti’ dipilih seiring dengan kedudukan semasa ekonomi dan tahap produktiviti di Sabah yang memerlukan transformasi ekonomi.

“Pelan dokumen pembangunan ini secara langsung dan tidak langsung mampu menyumbang kepada peningkatan produktiviti negeri Sabah,” katanya. – Utusan Borneo

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top