TUARAN: Kerajaan Negeri akan terus memberi penekanan kepada pembangunan modal insan khususnya golongan belia dalam agenda memacu pembangunan Sabah, kata Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.
Selain menumpukan kepada sektor utama Pelan Hala Tuju (SMJ) Sabah Maju Jaya dalam merangsang pertumbuhan dan pemulihan ekonomi negeri, Hajiji berkata Kerajaan Negeri turut menekankan teras kedua Pelan Hala Tuju SMJ iaitu “Pembangunan Modal Insan” dan “Kemakmuran Rakyat”.
Berdasarkan data yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia bagi tahun 2022, Hajiji berkata Sabah merekodkan lebih 50 peratus populasi belia berumur 15 hingga 40 tahun pada 2020.
“Golongan belia adalah generasi penting dalam memacu pembangunan pada masa hadapan, mereka tidak akan ketinggalan.
“Kerajaan Negeri menyediakan pelbagai program berdasarkan tuntutan semasa dan cabaran masa hadapan, antaranya memperuntukkan RM95.89 juta kepada Kementerian Belia dan Sukan Sabah dalam bajet negeri 2022, bagi melaksanakan pelbagai inisiatif pembangunan belia khususnya dalam peningkatan kemahiran dan program latihan semula.
“Fokus kami adalah kepada kebolehpasaran pekerja dan pemadanan bakat pekerjaan untuk melahirkan belia yang berdaya saing. Ini adalah antara usaha kerajaan untuk merealisasikan aspirasi belia yang ingin menyumbang kepada pembangunan modal insan, ekonomi dan kesejahteraan sosial di Sabah”, katanya pada majlis perasmian Hari Belia Negara 2022 di padang pekan Tuaran. pada Sabtu.
Perdana Menteri Datuk Seri Panglima Ismail Sabri Yaakub merasmikan sambutan itu.
Hadir sama, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Kabinet Negeri Sabah.
Dalam ucapannya, Hajiji juga berkata kerajaan bersetuju memperuntukkan RM10 juta bagi memperkenalkan inisiatif baharu iaitu Skim Jaya Usahawan Belia Sabah (SYABAS) sebagai jawapan kepada cadangan kumpulan anak muda yang ingin memulakan perniagaan.
Inisiatif itu melibatkan bantuan kepada usahawan belia untuk memulihkan perniagaan yang terjejas akibat pandemik Covid-19 dan juga bantuan dalam memulakan perniagaan.
“Selain itu, kerajaan juga menyediakan platform untuk generasi muda menyuarakan idea melalui Majlis Perundingan Pelajar Sabah (MPPS). Saya sendiri menghadiri sesi perkongsian idea dan mendengar suara anak muda melalui MPPS Mei lalu.
“MPPS juga merupakan inisiatif bersama IKRAR, Pejabat Menteri Tugas-Tugas Khas dan Majlis Belia Sabah. Saya melihat platform ini sebagai medium terbaik untuk anak muda merancang masa depan negeri bersama kerajaan,” katanya lagi.
Hajiji juga berkata beliau mahu melihat golongan muda lebih inovatif, ‘berfikir di luar kotak’ dan menggunakan pendekatan baharu dalam cara mereka bekerja dan berfikir.
“Belia perlu lebih menonjol, dinamik dan proaktif serta bercita-cita untuk melangkaui sempadan tempatan. Terokai peluang, meluaskan kemahiran anda, memupuk kreativiti dan berfikir secara kritis. Semua ini adalah antara kemahiran yang diperlukan untuk menjadi generasi yang cekap dan berdaya tahan.
“Semoga semua belia akan terus menyerlah sebagai belia yang berdaya saing dan dapat menyumbang kepada kejayaan Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya. Kerajaan juga akan sentiasa mengiktiraf sumbangan, pencapaian, usaha dan suara semua belia,” akhirinya.
Lebih 5,000 belia berkumpul meraikan majlis tersebut.