Kerajaan negeri diminta teruskan projek pembinaan masjid baharu di Semporna

shafie.jpg

DSP Shafie ketika ditemui media selepas menunaikan solat Aidilfitri di masjid pekan Semporna. Turut kelihatan Naib Presiden Warisan, Datuk Jaujan Sambakong (kiri).

Kongsi Bersama

SEMPORNA: Kerajaan negeri diminta supaya meneruskan projek pembinaan masjid baharu di daerah ini, bagi menampung jumlah penduduk yang semakin bertambah.

Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Panglima Dr Mohd Shafie Apdal berkata, pembinaan masjid itu sangat perlu kerana Masjid Ar Rahman yang terletak di tengah-tengah pekan ini tidak menampung jemaah sedia ada.

Katanya, peruntukan untuk pembinaan masjid berkenaan sudah diluluskan ketika kerajaan Parti Warisan (WARISAN) memerintah.

“Peruntukan sebanyak RM30 juta untuk pembinaan masjid berkenaan sudah diluluskan semasa saya menjawat jawatan Ketua Menteri dan Menteri Kewangan Sabah.

“Masjid yang berkeluasan lima ekar itu dilihat dapat menampung jumlah jemaah seramai 50,000 orang dan jauh lebih besar daripada Masjid Ar Rahman yang sedia ada,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa hadir menunaikan solat Hari Raya Aidilfitri di Masjid Ar Rahman, di sini, semalam. Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulabayan, Datuk Jaujan Sambakong.

Shafie yang juga mantan Ketua Menteri Sabah berkata, pembinaan masjid ini juga sudah disusun atur dengan menyediakan prasarana lain termasuk sekolah, pusat kegiatan dakwah yang dapat dijadikan pusat Islam seluruh kawasan Semporna.

“Saya difahamkan tapak berkenaan sudah melalui proses timbus tanah dan hanya menunggu kajian dari segi pelantikan kontraktor.

“Semua ini terserah kepada kerajaan negeri sekarang untuk mempercepatkan pembinaan masjid berkenaan kerana peruntukannya sudah diluluskan,” katanya.

Menurutnya, kerajaan negeri seharusnya memberikan keutamaan kepada projek pembinaan ini kerana ia merupakan syiar Islam.

“Jangan jadikan ia sebagai mainan politik kerana kerajaan negeri perlu memikirkan projek ini sebagai keperluan rakyat yang mendesak,” katanya.

Sementara itu, Shafie yang juga Presiden Parti Warisan (WARISAN) berkata, semua rakyat diingat supaya sentiasa mengamalkan sikap berjimat cermat dalam meraikan Hari Raya Aidilfitri ini.

“Ketika ini pelbagai cabaran terpaksa kita tempuhi termasuklah ekonomi yang kurang memberangsangkan bukan hanya di negara ini, tetapi di seluruh dunia.

“Perlunya juga kita sentiasa mewujudkan perpaduan antara semua kaum di negara ini supaya Malaysia terutamanya Sabah kekal aman dan damai,” katanya. – Utusan Borneo

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top