KOTA KINABALU: Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS) menyokong usaha Kerajaan Persekutuan untuk mewajibkan pemakaian batik pada hari Khamis khusus untuk pegawai-pegawai persekutuan dan berharap ia diperluaskan ke semua negeri termasuk Sabah dan pemakaian batik juga digalakkan pada hari bekerja yang lain.
“Usaha ini perlu diperluaskan ke setiap negeri khususnya di Sabah.
“Namun, bagi Sabah, saya mencadangkan agar Kerajaan Negeri membenarkan dan menggalakkan pemakaian bukan sahaja baju batik tetapi juga baju kemeja yang bercorak tradisi Sabah.
“Sabah terkenal dengan kepelbagaian etnik dan budaya. Kita mempunyai lebih dari 30 etnik dengan pelbagai corak tradisi yang menarik dan bermakna dari segi adat dan budaya. Setiap suku kaum di Sabah mempunyai corak tradisinya tersendiri yang boleh dijadikan batik Sabah yang mengetengahkan keunikan kaum di Sabah,” kata Ketua Pemuda PBS yang juga Pengerusi Perkasa Realty Sdn Bhd, Christoper Mandut dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Menurut beliau, usaha ini selari dengan perjuangan parti yang mengutamakan kepelbagaian kaum dan memelihara budaya tempatan.
Selain itu, katanya, usaha ini dapat membantu ekonomi setempat dan boleh menjadi tarikan pelancong.
“Saya percaya dengan usaha ini, corak tradisi di Sabah bukan sahaja kelihatan ketika musim menuai sahaja tetapi sepanjang tahun dan digunapakai oleh semua kaum.
“Oleh itu, saya mencadangkan agar konsep dan reka bentuk baju batik Sabah diperkenalkan dan dimulakan di peringkat Kerajaan Negeri.
“Saya percaya ia akan mendapat sambutan meluas selain membantu pengusaha baju tradisional dan batik Sabah berkembang lebih pesat,” katanya. – Warta Oriental