Kerajaan Negeri Diberi Kuasa Urus Peruntukan: Adun Kerajaan, Pembangkang Setuju Cadangan DARD

projek.jpg

Gambar hiasan.

Kongsi Bersama

PETALING JAYA: ADUN kerajaan dan pembangkang bersetuju dengan cadangan seorang pemimpin Umno agar kerajaan negeri diberikan kuasa untuk mengurus peruntukan pembangunan sendiri.

Sambil menyifatkan cadangan itu sangat bagus, ADUN Layang-Layang di Johor, Abd Mutalip Abdul Rahim berkata, pelaksanaannya juga perlu dipertingkatkan dari segi pentadbiran.

“Pada awal, pembaharuan sebegini memang perlu proses penambahbaikan, tetapi lama kelamaan ia akan menjadi lebih baik dan cepat,” katanya kepada FMT.

Pada Selasa, ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan (DARD) mencadangkan agar kerajaan negeri diberi kuasa mengurus peruntukan sendiri kerana ia lebih mengetahui keutamaan di negeri masing-masing.

Ini turut dipersetujui ADUN Tanjong Bunga, Pulau Pinang, Zairil Khir Johari yang berpandangan bahawa pengagihan kuasa pusat, khususnya dari segi kewangan, adalah prinsip yang amat penting dalam demokrasi berasaskan persekutuan.

Semua cukai dikutip oleh kerajaan pusat katanya, dan peruntukan pula diberi secara rambang mengikut projek-projek yang diluluskan olehnya.

“Sebaiknya duit itu diberi kepada kerajaan negeri kerana kerajaan negeri lebih mengetahui keutamaan projek-projek infrastruktur yang diperlukan,” katanya.

ADUN Permatang Pasir, juga di Pulau Pinang, Muhammad Faiz Fadzil berkata, kerajaan negeri patut diberi kuasa itu bagi menghormati prinsip federalisme yang termaktub dalam Perlembagaan.

“Hasil negara turut bergantung kepada prestasi kerancakan industri di negeri-negeri,” katanya.

“Jadi sudah pasti peruntukan sepatutnya diuruskan oleh negeri. Barulah ada keseimbangan dalam pembangunan negara.”

Ketua Pembangkang DUN Johor Liew Chin Tong berkata, aturan sistem menurut Perlembagaan Persekutuan sedia ada memberi terlalu banyak kuasa kepada kerajaan pusat dan ini memberi kesan kepada negeri-negeri, termasuk Johor.

Katanya, Malaysia memerlukan sebuah persekutuan yang memberi lebih banyak kuasa kepada kerajaan negeri, termasuk dalam bidang kesihatan, pembangunan ekonomi dan pendidikan.

“Kerajaan persekutuan tidak akan rugi jika ia berkongsi hasil cukai dengan kerajaan negeri,” katanya.

“Dengan bertambahnya pembangunan ekonomi dan kutipan cukai, kedua-dua kerajaan pusat dan negeri akan mendapat faedah daripada hasil yang lebih besar.” – FMT

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top