KOTA KINABALU: Kerajaan negeri merayu agar kerajaan Pusat membekalkan segera vaksin ke negeri ini yang ketika ini semakin berkurangan.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, ekoran permintaan rakyat di negeri ini untuk menerima vaksin semakin hari semakin meningkat bekalan yang sedia ada sudah tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan sama ada bagi mereka yang telah mendaftar di MySejahtera atau melalui pendaftaran secara manual.
“Saya difahamkan pihak hospital terpaksa menangguhkan tamu janji penerima vaksin bagi dos pertama dan kedua kerana kekurangan bekalan yang sepatutnya tidak berlaku dalam usaha kita mempercepatkan pemberian vaksin kepada rakyat,” katanya di hubungi di sini kemarin.
Menurut Bung yang juga Menteri Kerja Raya beliau dimaklumkan setakat ini sekitar 10,000 hingga 11,000 orang di seluruh daerah di negeri ini menerima dos vaksin yang sepatutnya boleh ditingkatkan kepada 20,000 orang sehari jika tidak berlaku kekurangan bekalan.
“Kerajaan telah mempergiatkan pelbagai kempen kesedaran mengenai kebaikan vaksin kepada rakyat Sabah termasuk program Outreach Imunisasi COVID-19 Kebangsaan ke luar bandar dan pembukaan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang baharu, tapi amat malang bekalan vaksin kita tidak mencukup,”katanya.
Sehubungan dengan itu Bung meminta kerajaan Pusat khususnya kementerian yang berkaitan agar melihat isu ini sebagai perkara penting agar keadilan bagi penerima vaksin di negeri ini dapat dipenuhi selari dengan MA63
Kata beliau, walaupun di Sabah kes positif Covid-19 masih agak terkawal dan sepatutnya negeri ini boleh disenaraikan dalam Fasa 2 Pelan Pemulhan Negara, kerajaan Pusat wajar mengambil kira aspek keselamatan dan kesihatan rakyat Sabah dengan membekalkan vaksin yang mencukupi untuk kegunaan rakyat di negeri ini.
“Banyak negara telah berjaya mengekang penularan pandemik Covid-19 melalui pemberian vaksin kepada rakyatnya, justeru kita perlu mempercepatkan proses itu kepada rakyat di negara ini khususnya di Sabah di mana kita mensasarkan dalam bulan Oktober ini sekurang-kurangnya 85 peratus rakyat Sabah sudah menerima vaksin,” tambah Bung yang juga Ketua Umno Sabah.