KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah jelas mendengar rintihan rakyat khususnya para peniaga kecil apabila mengubah waktu operasi perniagaan di negeri ini, termasuk restoran dan pasar raya, dengan kali ini bermula jam 7 pagi hingga 7 petang berkuat kuasa serta-merta.
Pada mulanya kelmarin Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun mengumumkan operasi perniagaan diselaraskan bermula jam 9 pagi hingga 5 petang.
Bagaimanapun tidak lama selepas itu, prosedur operasi standard (SOP) berkenaan dipinda dengan operasi perniagaan dibenarkan bermula jam 9 pagi hingga 6 petang manakala operasi perniagaan di pasar awam serta pasar harian kekal bermula jam 6 pagi hingga 3 petang.
Had waktu operasi itu ternyata disambut dengan rungutan dan keluhan orang para peniaga dengan masing-masing menyifatkannya sebagai tidak sesuai dan terlalu singkat.
Dalam kenyataan terbarunya, semalam, Masidi yang juga jurucakap negeri berkaitan Covid-19 berkata, pindaan terhadap waktu operasi sektor perniagaan dan perkhidmatan itu dibuat selepas mengambil perhatian terhadap maklum balas daripada pelbagai pihak.
“Selain perniagaan lain, waktu operasi pasar awam dan pasar harian dikekalkan bermula jam 6 pagi hingga 3 petang manakala waktu operasi premis perniagaan yang dibenarkan di dalam kompleks membeli-belah adalah mengikut kompleks berkenaan iaitu bermula jam 9 pagi hingga 7 malam.
“Bagi stesen minyak, waktu operasi yang dibenarkan ialah bermula jam 6 pagi hingga 8 malam manakala institusi kewangan perbankan dibenarkan beroperasi bermula 8.30 pagi hingga 5.30 petang.
“Sementara itu, waktu operasi pejabat firma profesional seperti akauntan, peguam, auditor, jurutera, arkitek, juruukur berlesen, juruukur bahan, jurunilai, perancang bandar, saintifik (termasuk R&D) dan teknikal (termasuk penyenggaraan) serta semua khidmat profesional dibenarkan beroperasi bermula jam 9 pagi hingga 5 petang,” katanya.
Sumber foto: Internet