Kerajaan Negeri bersama Kerajaan Persekutuan komited majukan kampung-kampung

Dtk-Jahid.jpg

Menteri Pembangunan Luar Bandar Negeri, Datuk Jahid Jahim mewakili Ketua Menteri,menyampaikan sijil penyertaan kepada wakil peserta kursus, Diana Aning.

Kongsi Bersama

TUARAN: Kerajaan Negeri Gabungan Rakyat Sabah-PH Plus komited memberikan kerjasama penuh kepada Kerajaan Persekutuan dalam usaha memajukan kampung-kampung di seluruh negeri ini bagi mencapai pembangunan seimbang antara bandar dan luar bandar, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor.

Beliau juga menyeru semua wakil rakyat di Sabah agar melibatkan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dalam setiap perancangan dan pelaksanaan pembangunan di luar bandar.

Katanya, keterlibatan pemimpin akar umbi dapat membantu menyediakan perancangan pembangunan yang lebih teratur, terselaras serta memenuhi keperluan sebenar rakyat.

“Ini termasuklah bersama-sama menjayakan Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) sebagai agenda dan pelan pembangunan negeri ini. Hala Tuju SMJ adalah untuk memulihkan semula ekonomi dan kesejahteraan rakyat di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Kursus Pengurusan dan Pentadbiran JKKK Siri 2/2024 Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman dan DUN Pantai Dalit, Tuaran dan Penyerahan Kunci Rumah Mesra SMJ di Grand Ballroom Shangri-La Rasa Ria Resort, pada Khamis.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar Negeri, Datuk Jahid Jahim.

Hajiji berkata, kebajikan rakyat termasuk pemilikan rumah merupakan keutamaan kerajaan menerusi salah satu teras dalam Hala Tuju SMJ. Pelaksanaan Rumah Mesra SMJ sangat bertepatan sekali, untuk mengeluarkan penduduk luar bandar daripada kemiskinan dan memastikan penyediaan rumah mampu milik untuk mereka.

Menurutnya, selain memberi perhatian kepada sektor pertumbuhan utama dan pemulihan ekonomi di Hala Tuju SMJ, kerajaan juga memberi tumpuan kepada teras kedua pelan pembangunan tersebut, iaitu modal insan dan kemakmuran rakyat termasuk memastikan mereka mempunyai rumah.

Hajiji berkata, bantuan Rumah Mesra SMJ telah dilancarkan pada tahun 2022, membabitkan pembinaan 1,500 buah Rumah Mesra SMJ secara percuma untuk golongan miskin dan miskin tegar khususnya yang tersenarai dalam sistem e-kasih dan mereka yang tidak mempunyai rumah sendiri di 73 kawasan DUN di Sabah.

“Saya sering menekankan bahawa semua dasar dan program kerajaan yang sedang dirancang mestilah berorientasikan kemakmuran rakyat. Golongan miskin tidak boleh dipinggirkan sama sekali,” tegasnya.

Beliau juga mahu semua JKKK berusaha meningkatkan pengetahuan dan kemahiran secara berterusan untuk memperkukuhkan keupayaan dan kompetensi sebagai pemimpin dan pentadbir di peringkat paling asas. Perpaduan dan kerjasama antara JKKK juga perlu dipelihara dan ditingkatkan untuk menjayakan semua agenda pembangunan yang dirancang oleh kerajaan.

Katanya, perkara penting yang perlu diberi perhatian adalah usaha untuk sentiasa mendekati anggota masyarakat yang dipimpin, bagi mewujudkan persefahaman dan keyakinan rakyat terhadap pemimpin dan kerajaan. Kesepakatan yang dibentuk dapat memastikan semua perancangan dijayakan dengan sempurna dan menghasilkan impak untuk manfaat rakyat.

Hajiji berkata, Pengerusi JKKK merupakan wakil kepada kerajaan untuk memberikan penerangan dan maklumat yang tepat kepada masyarakat agar tidak mudah percaya dan terpengaruh dengan anasir-anasir jahat yang cuba memecahbelahkan perpaduan rakyat berbilang bangsa dan agama di Sabah.

Beliau berkata, memandangkan pihak tertentu sentiasa cuba dan berusaha menafikan setiap pembangunan dan agenda yang dilaksanakan oleh kerajaan, justeru pengerusi dan semua ahli jawatankuasa JKKK memainkan peranan penting membantu kerajaan menepis semua dakwaan yang tidak berasas itu.

Penyerahan Surat Kuasa Enakmen Pentadbiran Luar Bandar (Pindaan) 2023 kepada Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, Majlis Perbandaran Tawau dan Sandakan serta Pegawai- Pegawai Daerah seluruh Sabah turut diadakan pada majlis itu. – PENERANGAN GAGASAN RAKYAT

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top