TAWAU: Kerajaan negeri sentiasa memberi keutamaan dalam aspek pendidikan supaya dapat memperkasakan modal insan yang bakal menjadi pemimpin pada masa akan datang.
Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, peruntukan bagi sektor pendidikan sentiasa ditambah supaya ianya dapat menyediakan kemudahan yang lengkap kepada pelajar.
Katanya, kerajaan negeri akan memastikan semua keperluan pendidikan ditambah baik dan bantuan bagi pelajar yang memerlukan sentiasa diberikan.
“Kita akan memberikan bantuan pendidikan atau biasiswa bagi pelajar yang layak dan memerlukan terutamanya keluarga kategori B40.
“Kerajaan negeri mahu memastikan kecemerlangan pendidikan menjadi agenda utama selari dengan Hala Tuju Sabah Maju Jaya,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata demikian dalam majlis Bimbingan Permata Hati Menuju Sinar SPM 2022 peringkat Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tawau, di sini kelmarin.
Menurutnya, program itu wajar dilaksanakan untuk meningkatkan dan membangkitkan semula semangat serta motivasi pelajar supaya mereka bersiap sedia dalam menghadapi peperiksaan SPM akan datang.
“Usaha ini membuktikan bahawa guru-guru sentiasa berusaha sebaik mungkin untuk memastikan anak didik mereka tidak ketinggalan dalam setiap mata pelajaran.
“Diharapkan agar program ini dapat memberikan input dan gambaran yang lebih jelas kepada semua pelajar, sekali gus membantu mereka meningkatkan prestasi masing-masing,” katanya.
Nizam turut menyeru kepada semua pelajar terlibat supaya memanfaatkan program ini untuk melengkapkan diri dengan ilmu dan kemahiran yang diberikan.
“Saya berharap semua pelajar terus bersemangat untuk belajar supaya boleh memperoleh keputusan yang baik dan cemerlang dalam peperiksaan SPM tahun ini,” katanya. – Utusan Borneo