Oleh: Jaafar Abd Wahid
KOTA KINABALU: Kerajaan negeri akan memberi keutamaan kepada jurutera dan perunding tempatan (konsultan) di negeri ini sebagai perunding kepada projek-projek yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri dan persekutuan.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin berkata, Sabah memiliki ramai jurutera dan firma perunding yang berkelayakan serta berkebolehan untuk menjadi perunding bagi mana-mana projek yang ditawarkan oleh kerajaan negeri dan persekutuan sekiranya mereka diberikan ruang dan peluang.
“Bagaimanapun kebanyakan projek-projek kerajaan persekutuan, firma perundingnya dilantik terus dari Semenanjung Malaysia.
“Sekiranya projek yang dilaksanakan bermasalah atau berlaku kelewatan pelaksanaan, pihak jabatan atau agensi kerajaan negeri sebagai contoh Jabatan Kerja Raya (JKR) tidak dapat melakukan sebarang tindakan atau arahan kerana ianya dilantik terus oleh kerajaan pusat,” katanya ketika ditemui selepas menerima kunjungan hormat Persatuan Jurutera Perunding Malaysia Cawangan Sabah di pejabat beliau kelmarin.
Kunjungan tersebut diketuai oleh Pengerusi Jurutera Perunding Malaysia Cawangan Sabah, Ir Razalie Sindong yang disertai Timbalan Pengerusi Ir Chin Shu Ying; Setiausaha Kehormat Ir Benny Sing serta Setiausaha Tetap Kementerian Kerja Raya Hanafiah Datuk Seri Panglima Kassim.
Menurut Bung yang juga Menteri Kerja Raya, terdapat beberapa kes projek-projek kerajaan persekutuan yang dilaksanakan di negeri ini yang mana juru perundingnya dilantik terus dari Semenanjung Malaysia menghadapi masalah.
“Sebagai contoh projek pembinaan jambatan di jalan raya By Pass Libaran Sandakan dimana struktur jambatan yang dibina runtuh sebanyak tiga kali menyebabkan laluan itu sehingga kini tidak dapat digunakan.
“Kita tidak menafikan keupayaan jurutera atau juru perunding dari luar, tetapi jika juru perunding tempatan yang kita lantik diyakini lebih memahami struktur dan keadaan muka bumi di negeri ini dan jika berlaku sebarang masalah kita (kerajaan) khususnya Kementerian Kerja Raya dapat mengambil tindakan susulan sewajarnya,” katanya.
Tambah Bung, satu lagi kekangan bagi kerajaan khususnya kementerian beliau untuk melantik juru perunding tempatan adalah kerana disebabkan kementerian tersebut belum mendapat pengiktirafan sebagai jabatan yang bertauliah.
“Perkara ini sewajarnya tidak berlaku kerana JKR Sabah telah wujud sekian lama dan memiliki beratus jurutera yang bertauliah dan berpengalaman untuk mengendalikan sesuatu projek pembangunan,” katanya.
Menurut Bung perkara ini telah pun dibangkitkan kepada pihak Kementerian Kerja Raya Malaysia dan pihaknya telah menerima surat pada awal Julai tahun ini untuk memulakan perbincangan libat urus bagi menjadikan JKR Sabah mendapat pengiktirafan sebagai jabatan yang bertauliah.
“Kita berharap hasil perbincangan ini positif dimana dengan pentulihan ini kita bukan sahaja diberikan kuasa memantau projek-projek persekutuan di negeri ini tapi turut mempunyai kuasa untuk melantik juru perunding dan sudah tentu kita akan memberikan keutamaan kepada juru perunding tempatan,” jelas Bung.
Dalam pada itu, semasa perjumpaan tersebut Bung yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan turut mengambil maklum segala isu yang dibangkit oleh Persatuan Jurutera Perunding Malaysia Cawangan Sabah yang kini mempunyai 47 ahli Jurutera Perunding untuk diberikan perhatian dan tindakan sewajarnya.