Kerajaan Negeri beri bantuan RM1,000 kepada mangsa banjir di PPS Penampang

CM-mangsa-banjir.jpg

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor beramah mesra dengan seorang mangsa banjir ketika meninjau pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Kebudayaan Penampang. (Kredit foto: FB Hajiji Haji Noor)

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Setiap keluarga yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Kebudayaan Penampang di sini menerima bantuan kecemasan berjumlah RM1,000 dari kerajaan negeri.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, kerajaan negeri amat prihatin dan simpati dengan keadaan mangsa banjir terutama mereka yang terpaksa dipindahkan ke PPS.

Katanya, selain mangsa banjir di PPS, kerajaan turut memikirkan bantuan yang sesuai untuk mangsa banjir yang terjejas dan mengalami kerosakan peralatan rumah.

“Kerajaan negeri dan Persekutuan akan membantu semua mangsa banjir ini.

“Peruntukan daripada Ahli Parlimen Penampang yang juga menteri di Persekutuan Datuk Ewon Benedick turut disampaikan bersama dengan bantuan kerajaan negeri kepada mangsa banjir,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melawat mangsa banjir di PPS Dewan Kebudayaan Penampang di sini semalam.

Dalam pada itu, Hajiji turut mengingatkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk membersihkan semua parit yang tersumbat.

“Bersihkan parit-parit yang tersumbat bukan sahaja di Penampang tapi di daerah lain juga kerana kita sekarang menghadapi musim hujan.

“Jangan sudah hujan barulah mahu bersihkan parit. Bersihkan sekarang supaya banjir kilat ini kita dapat atasi.

“Kalau hujan terlampau banyak itu memang di luar kekuasaan kita, tapi kita kena bersedia termasuk PBT, JPS, dan juga Jabatan Kerja Raya (JKR),” jelasnya.

Terdahulu, Pegawai Daerah Penampang Francis Chong memberi taklimat kepada Hajiji mengenai jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ke PPS sejak diaktifkan pada jam 5.25 petang Ahad lepas.

Beliau turut diberi taklimat sebanyak 11 kampung di sekitar daerah Penampang dilanda banjir berikutan hujan lebat sejak kelmarin dan mengorbankan satu nyawa melibatkan seorang wanita.

Selepas lawatan itu, Hajiji diiringi oleh Ewon bersama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Panglima Safar Untong; Pembantu Menteri Kerja Raya Datuk Limus Juri; dan Setiausaha Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan Datuk Awang Shaminan Sahari meninjau situasi banjir di Kampung Tuavon dan Hungab dekat sini.

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top