Kerajaan negeri berada di landasan tepat: Masiung

masiung-1.jpg
Kongsi Bersama

KOTA BELUD: Kerajaan negeri kini berada di landasan tepat dengan memfokuskan isu rakyat terlebih dahulu sambil mengurangkan bicara tentang politik.

Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Masiung Banah berkata, karenah pembangkang tidak perlu dilayan kerana akhirnya ia akan memudaratkan kepentingan rakyat.

“Rakyat Sabah pada ketika ini mengharapkan bantuan dan keprihatinan kerajaan untuk menguruskan isu-isu domestik yang belum selesai.

“Pemimpin pembangkang boleh bercakap apa saja, kerana itu memang kerja mereka. Tapi amanah kita sebagai pemimpin kerajaan yang memerintah harus diutamakan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan pejabat Gagasan Rakyat Bahagian Kadamaian, yang diadakan serentak sambutan Krismas dan Tahun Baru, kelmarin.

Masiung berkata, Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berpesan kepada pemimpin kerajaan supaya tidak terlalu berpolitik sebaliknya mendahulukan kepentingan rakyat.

Menurutnya, antara isu domestik yang perlu segera diperbetulkan kini ialah masalah bekalan air, elektrik dan jalan raya.

Masiung menjelaskan, walaupun pembinaan Lebuhraya Pan Borneo dibawah pelaksanaan kerajaan Persekutuan, namun kerajaan Sabah perlu mengambil peranan aktif bagi memastikan projek itu berjalan lancar.

Pada masa ini katanya, isu bekalan air sudah hampir selesai dan kerajaan Sabah juga telah mengambil alih pengurusan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), namun masih banyak perkara yang perlu ditambah baik.

Pada majlis itu, Masiung turut menyampaikan sumbangan lima buah penghawa dingin untuk pejabat Gagasan Rakyat Kadamaian.

Hadir sama Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Kadamaian, OKK Ruslan Duraman serta 250 penyokong parti itu.

Sehingga kini, Gagasan Rakyat Kadamaian merekodkan lebih 4,000 ahli menerusi 114 cawangan yang berdaftar.

 

Yap Siong Han/Penerangan Gagasan Rakyat

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top