Kerajaan Negeri Bantu Siapkan Rumah Baharu Untuk Mangsa Kebakaran Pulau Gaya

CM-pulau-gaya.jpg

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah akan berusaha membantu menyediakan rumah untuk penduduk Kampung Lok Urai, Pulau Gaya dekat sini yang kehilangan tempat tinggal akibat kebakaran pada 11 Mac lepas.

Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor berkata sehubungan itu kajian akan dilakukan untuk membangunkan semula kawasan kampung itu bagi memberikan kehidupan yang lebih selesa kepada mangsa dan keluarga mereka.

“Kerajaan akan melihat macam mana kita membantu mereka kerana yang terlibat ini adalah rakyat Malaysia negeri Sabah, jadi kita akan mencari jalan untuk membantu mereka supaya mereka dapat tinggal seperti biasa di rumah-rumah dengan keluarga mereka.

“Kita akan melihat perkara ini …kita akan kaji keadaan di kawasan itu dan juga kependudukan di sana,” katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa kebakaran yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Serbaguna Sembulan di sini semalam.

Sempena lawatan itu beliau turut menyampaikan sumbangan wang tunai kepada 65 ketua keluarga mangsa kebakaran selain bantuan yang turut diberikan kepada semua keluarga yang terlibat dengan kejadian tersebut

Kejadian kebakaran itu menyebabkan 200 penduduk kampung hilang tempat tinggal apabila 73 buah rumah di atas air musnah sepenuhnya, manakala 757 kediaman sempat diselamatkan dengan tindakan pantas pasukan bomba.

Turut serta dalam lawatan tersebut ialah Ir. Shahelmy Yahya, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Seri Panglima Sr Hj Safar Untong, Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Abidin Madingkir, Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Wetrom Bahanda, Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Datuk Abu Bakar Titingan, Pembantu Menteri Kewangan dan Puan Noorliza AwangnAlip, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top