KOTA KINABALU: Kerajaan negeri akan menyokong pertumbuhan dan pengembangan sektor pengeluaran koko di Sabah, kata Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.
Hajiji berkata, produk berasaskan koko dari Sabah mendapat permintaan tinggi justeru potensi untuk sektor itu terus berkembang adalah besar.
Berucap pada majlis pelancaran Pesta Koko Sabah 2022 pada Ahad, Hajiji berkata Sabah
mengeksport sejumlah RM16.16 juta koko dan produk-produk koko pada tahun lalu manakala daripada jumlah tersebut, nilai eksport coklat adalah sebanyak RM7.72 juta atau 10.6%.
Katanya lagi, pada tahun lalu Sabah menyumbang 59 peratus daripada jumlah pengeluaran biji koko negara, iaitu sebanyak 540 tan metrik dan menyumbang kepada 57 peratus atau kira-kira 3,444 hektar daripada keluasan tanaman koko negara seluas 6,000 hektar.
“Sehingga hari ini, Sabah masih menjadi penyumbang utama industri koko di seluruh negara sama ada dari segi keluasan mahupun pengeluaran koko mentah yang berkualiti. Lima daerah merupakan kawasan penanaman koko yang aktif di Sabah iaitu Ranau, Kota Marudu, Tenom, Kota Belud dan Tambunan,” katanya lagi.
Ketika ditemui pemberita selepas majlis pelancaran itu, Hajiji berkata beliau gembira melihat kehadiran begitu ramai usahawan yang terlibat dalam penghasilan produk berasaskan koko.
Ditanya sama ada kerajaan bercadang menambah bilangan daerah bagi mengusahakan tanaman koko, Hajiji berkata beliau telah memaklumkan kepada pengerusi Lembaga Koko Malaysia, Rahimah Majid bahawa kerajaan negeri akan memberi pertimbangan kepada keperluan pekebun koko di negeri ini.
“Ini adalah cara kerajaan negeri menyokong pertumbuhan dan pengembangan sektor itu,” katanya.
Hajiji dalam ucapannya sebelum itu berkata beliau optimis selaras dengan pemulihan ekonomi, aktiviti hiliran koko dijangka terus berkembang dengan peningkatan nilai produk koko separa proses dan produk akhir koko.
Justeru katanya, usaha-usaha berterusan perlu dilakukan oleh pihak berkaitan khususnya Lembaga Koko Malaysia (LKM) sebagai peneraju utama koko Malaysia, untuk memastikan perkembangan berterusan koko sebagai tanaman komoditi ketiga terbesar di negara ini.
Menurutnya, pelbagai strategi telah dirangka bagi memastikan industri koko kekal sebagai aktiviti ekonomi yang berdaya saing dan berdaya tahan, sekali gus menyumbang kepada pendapatan negara.