Kerajaan Negeri Akan Siasat Isu Kewarganegaraan Ketua MIC Sabah

hajiji2.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, pihaknya akan menyiasat sama ada seorang ahli lembaga pengarah syarikat berkaitan kerajaan, Sawit Kinabalu, adalah individu sama yang pernah didakwa mendapat kewarganegaraan secara meragukan pada 1984.

Katanya, walaupun dakwaan itu hanya diketahuinya menerusi platform media sosial, namun pihaknya tetap akan melakukan siasatan.

“Saya tiada maklumat lanjut tapi nama individu yang dikatakan sama dengan individu yang kita lantik sebagai ahli lembaga pengarah Sawit Kinabalu dan dia adalah Pengerusi MIC Sabah, ahli Barisan Nasional (BN),” katanya pada sidang media.

Baru-baru ini, sekumpulan aktivis di Sabah mempersoalkan identiti Ketua MIC Sabah Peer Mohamad Kadir, yang sama namanya seperti individu dari India yang memasuki Sabah dari negara itu pada 1984.

Kumpulan itu juga menuntut kerajaan membuat penjelasan kerana individu mempunyai nama sama itu pernah mengaku mendapatkan kewarganegaraan secara meragukan pada masa itu.

Individu dengan nama itu juga pernah membuat pengakuan mengenai perkara berkenaan kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) pada 2013.

Sementara itu, Presiden PBS Datuk Seri Panglima Dr Maximus Ongkili, turut menggesa pihak berkuasa melakukan pemeriksaan latar belakang terhadap Ketua MIC Sabah itu.

Katanya, ia amat penting memandangkan parti itu sentiasa komited untuk membersihkan Sabah daripada pendatang tanpa izin (PTI).

“Kami percaya negeri dan negara secara keseluruhannya adalah milik rakyat Malaysia yang tulen.

“PBS turut khuatir terhadap dakwaan bahawa beliau (Peer) memasuki Sabah dari India pada 1984 dan memperoleh kad pengenalan enam tahun kemudian melalui cara yang meragukan,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi PBS, semalam.

Maximus yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) berkata, Pemuda PBS juga akan membuat laporan polis berhubung perkara itu tidak lama lagi.

“Kami berharap siasatan akan membuka “kotak Pandora” secara keseluruhan. Kami ingin tahu bagaimana beliau boleh mendapat kewarganegaraannya serta maklumat-maklumat lain agar tindakan sewajarnya boleh diambil” katanya. – FMT


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top