Kerajaan Negeri akan bantu Bajau Laut yang terkesan operasi roboh rumah

hajiji-2.jpg

(Gambar fail)

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah akan membantu masyarakat Bajau Laut (Palau) yang terkesan akibat operasi merobohkan rumah mereka di Semporna baru-baru ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor juga berkata operasi itu adalah untuk keselamatan dan kedaulatan negara.

Walau bagaimanapun, katanya, kerajaan negeri sudah merancang sesuatu yang baik untuk mereka.

“Jangan jadikan isu ini isu politik, (kerajaan negeri) tahu bagaimana nak tangani (isu ini) dan bantu mereka,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman antara Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan negeri dengan anak syarikat Kibing Group, SBH Kibing New Solar Energy (M) Sdn Bhd, di Taman Perindustrian Kota Kinabalu, di sini.

Dalam operasi selama beberapa hari minggu lepas, pegawai penguat kuasa menjalankan pengusiran dan perobohan rumah milik lebih 500 anggota masyarakat Bajau Laut yang dibina atas air, khususnya di tujuh pulau di Taman Marin Tun Sakaran.

Tindakan yang dikritik oleh kumpulan hak asasi manusia dan NGO yang menyeru pihak berkuasa negeri mengambil pendekatan yang lebih berperikemanusiaan untuk menyelesaikan isu tersebut.

Jumaat lepas, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Christina Liew berkata, operasi perobohan itu dijalankan selepas notis pengusiran dikeluarkan antara 2 hingga 4 Mei bagi 278 rumah yang dibina secara haram di perairan taman marin itu

Beliau berkata, perobohan itu diarahkan atas faktor keselamatan pada peringkat daerah.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top