Kerajaan mohon ketepi kebenaran kepada SLS isu hak 40 peratus hasil negeri

mahkamah-persekutuan.jpg
Kongsi Bersama

  1. PUTRAJAYA: Kerajaan memfailkan permohonan di Mahkamah Persekutuan untuk mengetepikan kebenaran yang diberikan kepada Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS) bagi memulakan semakan kehakiman berkaitan isu hak 40 peratus hasil negeri itu seperti yang termaktub di bawah Perlembagaan.

Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan, ketika dihubungi BERNAMA berkata, permohonan itu difailkan pada 16 Julai lalu.

Beliau berkata, beberapa persoalan undang-undang dibangkitkan untuk diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan, termasuk sama ada keputusan semakan berhubung Pemberian Khas Sabah adalah perkara dasar yang secara eksklusif dalam domain eksekutif.

Persoalan lain ialah sama ada Perintah Perlembagaan Persekutuan (Kajian Semula Pemberian Khas di bawah Perkara 112D (Negeri Sabah) 2022 adalah terbuka untuk semakan kehakiman.

Pada 18 Jun lalu, Mahkamah Rayuan menolak rayuan Kerajaan Persekutuan terhadap kebenaran yang diberikan kepada SLS memulakan semakan kehakiman bagi memaksa 40 peratus hasil persekutuan yang diperoleh dari Sabah dipulangkan mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk P Ravinthran mengarahkan Mahkamah Tinggi menetapkan tarikh pendengaran substantif permohonan semakan kehakiman itu.

Beliau berkata, SLS sekurang-kurangnya membuktikan ia mempunyai locus standi untuk semakan kehakiman kerana ia jelas litigasi berkepentingan awam yang diambil untuk manfaat orang ramai.

Ravinthran juga berkata, isu dalam permohonan semakan kehakiman membabitkan kepentingan Perlembagaan yang tinggi dan diambil bagi menunjukkan hak Perlembagaan yang diberi kepada Sabah, seterusnya demi manfaat rakyat.

Pada 11 November 2022, Mahkamah Tinggi memberi kebenaran kepada SLS memulakan semakan kehakiman selepas memutuskan ia mempunyai locus standi berbuat demikian kerana ia adalah isu berkepentingan awam.

SLS memfailkan permohonan semakan kehakiman pada 2022 bagi membatalkan warta kerajaan Persekutuan mengenai geran tahunan sebanyak RM125.6 juta bagi Sabah dengan mendakwa ia melanggar hak hasil negeri itu di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). – BERNAMA

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top