Kerajaan komited melahirkan atlet berkualiti – Nizam

nizam.jpg

Kredit foto: FB Nizam Abu Bakar Titingan

TAWAU: Kerajaan Negeri komited melahirkan atlet berkualiti yang mampu membawa nama negeri dan negara ke peringkat antarabangsa, kata Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.

Menurut beliau, komitmen kerajaan itu dapat dilihat melalui pelbagai usaha mencungkil bakat baharu melalui peruntukan yang besar.

Katanya, setiap dua tahun sekali kerajaan menganjurkan Sukan Sabah (SAGA) yang mempertandingkan beberapa jenis sukan yang menyasarkan atlet berumur 20 tahun ke bawah.

“SAGA adalah pertandingan untuk golongan muda menonjolkan bakat mereka untuk lebih berjaya sebagai ahli sukan,” katanya.

Nizam yang juga ADUN Apas berkata demikian selepas merasmikan Liga Sukan Komuniti peringkat Tawau di SG Futsal, di sini, pada Sabtu yang menyaksikan 32 pasukan futsal termasuk dari Semporna dan Kunak bertanding.

Mengenai program itu, katanya, liga itu diadakan bagi memilih pasukan mewakili Tawau ke pertandingan peringkat negeri yang dijangka berlangsung penghujung September ini.

Nizam berkata, kejohanan itu juga merupakan salah satu program tahunan Kementerian Belia dan Sukan melalui Jabatan Belia dan Sukan Persekutuan (JBS) bagi menggalakkan golongan muda menyertai aktiviti sihat dan berfaedah.

“Acara sebegini sememangnya sangat baik dalam memupuk perpaduan masyarakat berbilang kaum tanpa mengira keturunan dan kedudukan, selain mencungkil bakat baharu untuk diangkat ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Nizam berkata, futsal dilihat sebagai salah satu platform terbaik dalam melahirkan warganegara yang sihat, berdisiplin, bertanggungjawab serta peka terhadap hala tuju kehidupan dan perjuangan mereka.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top