Kerajaan Komited Lahirkan Umat Yang Istiqamah

arifin-3.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri dan persekutuan komited melaksanakan usaha bagi melahirkan umat yang istiqamah dengan ajaran Islam.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, langkah kerajaan persekutuan menyediakan peruntukan secara tahunan bagi melantik guru-guru KAFA, Takmir, Imam-imam Rawatib dan Pegawai-Pegawai Penyelaras Masjid Daerah di kalangan anak-anak Sabah merupakan satu pendekatan kepada memperkasa modal insan agar sentiasa kompeten, berinovasi, berdaya tahan dan berintegriti.

“Ini dapat dilihat dari segi tugas dan tanggungjawab para asatizah yang mengisi dan memenuhi keperluan masyarakat dalam bidang-bidang ilmu dan amal Islami.

“Bagi kerajaan negeri pula, usaha yang dilaksanakan dalam pembangunan Islam, termasuklah pembinaan baharu dan penyelanggaran masjid  dan surau, sekolah-sekolah agama, penambahan pelantikan guru-guru agama dan imam-imam Kariah.

“Pendekatan ini bagi memastikan masyarkat Islam di negeri ini merasa selesa  dalam melaksanakan amal ibadah dan mendapat pendidikan agama yang sewajarnya dari peringkat awal pendidikan lagi.

“Masyarakat yang lahir dari acuan yang baik, tentunya akan melahirkan generasi baharu yang lebih beragama, berwibawa dan berwawasan, yang akan memandu pada masa akan datang kepada sebuah negeri makmur yang sentiasa disirami dengan rasa syukur atas limpahan nikmat ruah yang diperolehi, yang diharapkan dapat disifatkan sebagai baldatun thayyibatun wa rabbun ghafur kerana ketakwaan masyarakatnya,” ujarnya.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif dalam Majlis Multaqa Murabbi Ummah Peringkat Negeri Sabah Tahun 2022 di Dewan Sa’adah, Wisma Muis, pada Khamis.

Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Dato’ Dr Sirajuddin Suhaimee dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Ramlan Awang Ali.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top