PUTRAJAYA: Kerajaan sedang mengkaji keperluan mengapungkan harga telur termasuk memberikan subsidi kepada golongan B40, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu.
Beliau berkata, perbincangan mengenai perkara berkenaan masih sedang berjalan bersama tiga kementerian lain iaitu Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup.
“Ada cadangan supaya harga telur diapungkan dan subsidi diberikan kepada B40 dan kita sedang buat kajian adakah ia baik kepada golongan B40.
“Ini kerana bagi orang yang mampu, mereka tak kisah harga telur berapa pun dan orang Malaysia antara paling tinggi makan ayam dan telur,” katanya pada Majlis Amanat Sempena Tahun Baharu Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS).
Sebelum ini, memetik laporan Beritan Harian, Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin), Ameer Ali Mydin berkata, kerajaan perlu menghapuskan pemberian subsidi khususnya membabitkan minyak masak serta telur dan menggantikannya dengan subsidi bersasar menerusi pemberian tunai bulanan untuk golongan B40.