PETALING JAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad percaya saranan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah supaya orang politik berhenti berpolitik tidak terhad kepada pemimpin parti pembangkang sahaja.
Pengasas Pejuang itu berkata, sebaliknya beliau yakin saranan Sultan Abdullah turut terpakai kepada pemimpin dalam pentadbiran di Putrajaya yang kini diketuai Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Diharap sementara ahli politik pembangkang menghormati nasihat Agong, ahli politik kerajaan dan kerajaan juga henti tindakan politik seperti melucutkan jawatan orang politik yang tidak sokong kerajaan.
“Bahkan, memberhentikan peruntukan wakil rakyat yang tidak sokong kerajaan, membeli penyokong parti lawan untuk menjatuhkan kerajaan parti lawan, memaksa pilihan raya diadakan kerana percubaan merebut kerajaan.
“Selain itu, menolak pendaftaran parti politik seperti Pejuang dan bermacam lagi tindakan politik seperti sogokan wang dalam pilihan raya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, dalam kenyataannya menolak cadangan darurat daripada kerajaan, Agong menegaskan Belanjawan 2021 yang dijadual dibentangkan pada 6 November depan amat penting dalam menangani wabak Covid-19 dan memulihkan ekonomi.
Pada masa sama, Agong turut mengingatkan ahli politik supaya berhenti berpolitik bagi mengelakkan kestabilan negara terjejas.
Mahathir berkata, partinya akan tetap patuh kepada nasihat Agong supaya politik di Malaysia stabil. Malah, sanggup bekerjasama dalam usaha menangani wabak Covid-19.
“Sebagai pemimpin Pejuang yang belum didaftar, saya ingin menyatakan kesyukuran kami dan junjung kasih kami kepada Agong yang utamakan kepentingan rakyat dengan membuat keputusan bijak terhadap cadangan mengisytihar darurat di negara,” katanya. – FMT