Kerajaan Iktiraf Peranan Media Arus Perdana

Kinabalu-Press-Award-2.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri sentiasa mengiktiraf peranan pengamal media arus perdana sebagai salah satu rakan penting dalam membantu menyebarkan dasar dan pembangunan kerajaan di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata ia kerana mereka adalah jambatan untuk menyampaikan maklumat dan dasar oleh kerajaan kepada rakyat.

“Oleh itu adalah sangat penting bahawa melalui kerja pengamal media, maklumat sahih dikongsi dengan orang ramai. Kewartawanan yang baik memainkan peranan penting dalam masyarakat.

“Anda mampu mempengaruhi pemikiran rakyat melalui laporan, mengubah pandangan rakyat, malah mengubah landskap sosial dan politik sesebuah negara. Justeru, wartawan perlu membuat laporan dengan bijak, bertanggungjawab dan profesional,” katanya ketika merasmikan Anugerah Kewartawanan Kinabalu 2022 di Grand Ballroom Pacific Sutera di sini, pada Ahad.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan yang juga Menteri Kewangan II negeri, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun.

Anugerah Kewartawanan tahun ini yang bertemakan “Forward in the Digital Age” adalah simbolik kepada kesungguhan pengamal media dalam menyalurkan berita yang tepat, benar dan cepat ketika berhadapan dengan dunia digital yang sangat mencabar pada masa ini, kata Ketua Menteri.

“Dengan limpahan maklumat yang berada di hujung jari ketika ini, masyarakat mempunyai tanggungjawab dalam mencari maklumat yang benar.

“Dalam hal ini, pengamal media adalah tiang yang akan menyokong kepada semua rasa tanggungjawab ini dengan berita yang tepat, benar dan cepat,” katanya.

Hajiji berkata, berita mengenai inisiatif dan dasar yang diusahakan oleh Kerajaan Negeri melalui Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya begitu mudah dicari bukan saja disiarkan menerusi media massa atau elektronik malah melalui Internet.

“Semua ini adalah berkat daripada usaha anda menyalurkan berita kepada orang awam. Kerajaan negeri sentiasa komited dalam menjayakan agenda pembangunan negeri ini.

“Hala Tuju Sabah Maju Jaya adalah komitmen kami untuk membangunkan negeri demi kebaikan rakyat. Justeru, kami ingin supaya pihak media meneruskan peranannya dalam melaporkan agenda pembangunan kerajaan,” katanya.

Beliau bagaimanapun berharap arus pemodenan tidak akan menyanggah prinsip asas pemberitaan dan berita yang ditulis mesti berpaksikan fakta serta adil kepada subjek yang ditulis.

“Saya percaya biar secanggih mana pun teknologi yang digunakan dalam dunia kewartawanan baik di media cetak, elektronik mahu pun portal-portal berita, etika serta tanggungjawab anda sebagai wartawan tidak pernah berubah,” katanya.

“Kini kita diambang menyambut tahun 2023. Tahun 2022 yang akan kita tinggalkan telah membawa banyak kejayaan yang turut disiarkan dalam semua media di negeri ini.

“Saya berharap usaha yang baik ini akan diteruskan sekali gus peranan anda semua turut menjadi pemangkin kepada pembangunan negeri ini. Syabas kepada wartawan dan pengamal media yang begitu banyak membantu pembangunan negeri, sesungguhnya kerajaan amat menghargainya,” katanya.

Katanya, Anugerah Kewartawanan Kinabalu adalah platform yang disediakan dalam usaha mengiktiraf karya-karya kewartawanan dan sumbangan para wartawan terhadap isu-isu pembangunan, kemajuan sosio ekonomi serta melaporkan rungutan rakyat.

“Kepada para pemenang pada malam ini, saya mengucapkan tahniah di atas anugerah yang akan diterima. Ini adalah satu pengiktirafan tinggi kepada para pengamal media di Sabah.

“Dengan penyertaan sebanyak 270 dari pelbagai kategori dalam Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris dan Bahasa Cina, saya melihat penganjuran KPA ini terus relevan dalam memberikan penganugerahan kepada pengamal media di negeri ini,” katanya.

Yang turut hadir, Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar yang juga mantan Presiden Persatuan Wartawan Sabah (SJA), Datuk Joniston Bangkuai; Presiden, Persatuan Wartawan Sabah (SJA) dan Datuk Muguntan Vanar. – Jesselton Times

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top