Kerajaan GRS zahirkan penghargaan kepada tujuh Adun PH selamatkan kerajaan pimpinan Hajiji

Nizam-2.jpg

Datuk Nizam

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Kerajaan GRS Sabah menzahirkan penghargaan kepada tujuh Adun Pakatan Harapan (PH), termasuk dari UPKO yang telah menyelamatkan kerajaan pimpinan Datuk Seri Panglima Hajiji Noor daripada tumbang awal tahun ini.

Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata sokongan Adun PH itu telah membolehkan kerajaan meneruskan pembelaan kepada rakyat melalui halatuju Sabah Maju Jaya.

“Kerajaan menghargai kematangan wakil rakyat PH yang mengutamakan aspirasi dan mandat rakyat di PRN16 dengan menyokong mengekalkan kerajaan negeri pimpinan Hajiji,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Nizam berkata semasa membentangkan Ucapan Dasar Presiden pada Persidangan Agung Tahunan Gagasan Rakyat Isnin lepas, Hajiji mengingatkan ahli parti supaya bekerja bersungguh-sungguh, memantapkan jentera parti, menyantuni rakyat, berkhidmat dengan penuh iltizam agar parti mendapat mandat dengan kuasa yang cukup besar pada PRN17 akan datang.

Katanya, sokongan besar daripada rakyat itu cukup penting agar titik hitam politik Sabah menerusi “tindakan cuba merampas kuasa daripada rakan-rakan parti awal tahun ini yang menyebabkan kerajaan hampir-hampir kehilangan kelayakan tidak akan berulang”.

Nizam berkata gerakan “kudeta” yang gagal itu memberi pengajaran erti sebenar mana kawan dan mana pengkhianat.

Menurutnya dakwaan Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir yang mengibaratkan tindakan Hajiji selaku Presiden Gagasan Rakyat dan Ketua Menteri menyentuh mengenai perkara itu dalam ucapannya seperti membuka pekung di dada pada hakikatnya bagaikan menepuk air dalam dulang terpercik di muka mereka sendiri.

Katanya, ini kerana kenyataan Suhaimi itu telah dengan sendirinya mendedahkan pengkhianatan mereka kepada mandat dan aspirasi rakyat.

“Dakwaan Suhaimi bahawa punca UMNO Sabah marah kerana Hajiji tidak menunaikan janji dan menipu adalah tohmahan yang dibuat-buat untuk menutup kelemahan dan kegagalan kudeta yang digerakkan.

“Datuk Hajiji adalah seorang pemimpin dan Ketua Menteri yang terbuka dan mudah dibawa berbincang, sepatutnya Pengerusi UMNO Sabah yang juga berjawatan Timbalan Ketua Menteri ketika itu mempunyai akses yang cukup luas untuk berbincang termasuk dalam Mesyuarat Kabinet Negeri,” katanya.

Nizam berkata Suhaimi seharusnya sedar bahawa Hajiji selaku Ketua Menteri membuat keputusan dengan mengambil kira semua pandangan rakan parti dalam komponen Kerajaan Sabah dan bukan hanya untuk UMNO Sabah sahaja.

“Jika benarlah Datuk Hajiji seperti yang ditohmah oleh Suhaimi, tidak mungkin ramai pemimpin berdiri di belakang beliau, memberi sokongan moral seperti mana kehadiran pelbagai pemimpin termasuklah mantan pemimpin Sabah yang banyak berjasa kepada rakyat dan negeri, yang turut hadir pada Persidangan Agung Tahunan Gagasan Rakyat baru-baru ini.

“Sedarkah Suhaimi selaku ADUN dilantik oleh Datuk Hajiji, jika Datuk Hajiji selaku Ketua Menteri tiada setia kawan mengapa 5 Adun UMNO Sabah kekal menyokong Datuk Hajiji selaku Ketua Menteri dan tidak bersetuju dengan tindakan kudeta ‘Langkah Kinabalu’ yang gagal itu?,” tanya beliau. – Jesselton Times

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top