Kerajaan GRS Sentiasa Pentingkan Dasar Kesaksamaan – KM

Hajiji-CNY.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sentiasa mementingkan dasar kesaksamaan kepada semua perayaan tanpa mengira kaum dan agama di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor berkata, ini jelas dibuktikan dengan penganjuran majlis resepsi Tahun Baharu Cina

Katanya, seperti juga perayaan-perayaan yang lain iaitu Krismas, Hari Raya Aidilfitri, Deepavali, Pesta Kaamatan dan sebagainya, yang dirayakan oleh semua rakyat Malaysia, Tahun Baharu Cina adalah satu lagi perayaan yang penting.

“Selepas dua tahun tidak dapat meraikan sambutan Tahun Baharu Cina disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan pandemik Covid-19, pada tahun ini kita berpeluang meraikannya secara sederhana dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan kerajaan.

“Justeru, kita manfaatkanlah peluang yang ada ini. Di samping bergembira menyambut perayaan Tahun Baharu Cina, secara tidak langsung majlis seperti ini dapat menyemai, memupuk dan mempertahankan semangat murni dan kerjasama di antara kaum.

“Kerajaan GRS di bawah pimpinan saya akan terus menyokong majlis seperti ini.

“Semoga Tahun Harimau dalam zodiak Cina pada tahun ini yang melambangkan kuasa, kehebatan dan keberaniannya akan terus membawa negeri kita terus maju ke hadapan dan rakyat hidup dalam keadaan aman damai. Semoga tahun ini juga kita dapat menangani pelbagai cabaran sama ada dalam aspek ekonomi dan kesihatan,” kata Hajiji semasa merasmikan Majlis Resepsi Tahun Baharu Cina 2022 anjuran Gabungan Persatuan Cina Sabah (FCAS) di sini malam tadi. Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian Datuk Dr. Joachim Gunsalam.

Ketua Menteri turut mengajak semua untuk bersama-sama menjayakan agenda pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang lancarkan pada Mac tahun lalu.

“Inisiatif Kerajaan GRS ini diharapkan menjadi pemangkin pembangunan dan kemajuan bukan sahaja untuk diri kita sebagai individu tetapi juga kepada tanah air kita yang tercinta.

“Marilah kita bertekad untuk memastikan negara kita amnya dan negeri Sabah khasnya maju dalam aspek pembangunan ekonomi serta kestabilan politik, kesejahteraan rakyat dan keselamatan serta ketenteraman terjamin,” kata Hajiji.

Bagi memeriahkan lagi sambutan Tahun Baharu Cina pada tahun ini, katanya, Kerajaan Negeri telah memberikan bantuan membekal kepala singa kepada tokong-tokong dan badan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan melalui Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.

Bagi tujuan ini, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM1 juta untuk bantuan kepala singa di seluruh negeri.

“Kerajaan GRS juga amat menitikberatkan aspek pendidikan kepada rakyatnya tanpa mengira bangsa dan agama.

“Sebab itu, pada tahun ini sahaja, Kerajaan memperuntukkan jumlah yang besar kepada sekolah dan badan keagamaan bukan Islam iaitu sebanyak RM47 juta sekali gus ini adalah jumlah paling besar yang diluluskan Kerajaan Negeri. Semoga sumbangan dan bantuan kewangan oleh kerajaan GRS ini akan memberi manfaat dan memupuk semangat kesaudaraan dalam kalangan masyarakat Tionghua di negeri ini,” katanya.

 


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top