Kerajaan GRS Salur RM2.4 juta Bantu Mangsa Kebakaran Kg Landung Ayang

CM3.jpg

Hajiji meninjau kawasan kebakaran di Kg Landung Ayang.

Kongsi Bersama

KUDAT: Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan menyalurkan peruntukan khas berjumlah RM2.4 juta kepada semua pemilik 120 buah rumah yang telah musnah akibat bencana kebakaran di Kampung Landung Ayang.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, setiap rumah yang musnah akan menerima RM20,000 dalam bentuk bahan binaan untuk membina semula rumah mereka.

“Saya berharap agar bantuan yang diberikan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban yang dihadapi oleh semua mangsa kebakaran.

Hajiji menyampaikan bantuan kepada salah seorang mangsa kebakaran.

“Bantuan yang disalurkan ini menunjukkan rasa prihatin dan kebersamaan kerajaan negeri dengan rakyat yang ditimpa musibah atau kesusahan,” katanya kepada pemberita selepas menyantuni mangsa kebakaran Kampung Landung Ayang, di sini, hari ini.

Hajiji berkata, mangsa kebakaran dibenarkan membina semula rumah mereka ditapak sedia ada dengan dikawal selia oleh Lembaga Bandaran Kudat, agar ianya teratur dan berjarak.

Beliau juga merakamkan rasa simpati kepada semua mangsa bencana kebakaran dan berharap agar semua mangsa yang terlibat terus tabah serta sabar dalam menghadapi ujian ini.

Katanya, kerajaan negeri juga akan turut membantu rakyat yang ditimpa musibah atau kesusahan di semua kawasan di negeri ini, tanpa mengira agama, bangsa mahupun fahaman politik.

Terdahulu Hajiji menyampaikan sumbangan Bantuan Wang Ihsan (BWI) sebanyak RM500 kepada seramai 176 Ketua Isi Rumah (KIR) mangsa kebakaran kampung tersebut yang ditempatkan di Dewan Tun Mustapha.

Hajiji menyantuni sebuah keluarga mangsa kebakaran yang kini ditempatkan di Dewan Tun Mustapha.

Mangsa kebakaran juga menerima set dapur gas daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Mengiringi Hajiji ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Haji Sr Safar Untong, Pembantu Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr.Ruddy Awah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawang, Datuk Haji Ghulamhaidar Khan Bahadar, ADUN Pintasan, Fairuz Renddan dan Setiausaha Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan, Datuk Haji Awang Shahminan Sahari. – Utusan Borneo

 

 

 


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top