Kerajaan GRS-PH Plus mampu bertahan, teruskan agenda pembangunan Sabah: Yusof

dr-yusof-jelajah.jpg

Dr Yusof (depan, empat dari kiri) bergambar kenangan dengan penduduk salah sebuah kampung yang dilawati sempena Program Jelajah Pemimpin Bersama Rakyat . (Kredit foto: DDYY Media/FB Dr Yusof Yacob)

SIPITANG: Kerajaan Negeri dibawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bersama Pakatan Harapan (PH) Plus mampu bertahan lama bagi meneruskan agenda pembangunan di negeri ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin Datuk Dr Yusof Yacob berkata, kerajaan negeri ketika ini berada di landasan yang betul dalam meningkatkan hasil dan ekonomi negeri ini.

Katanya, selain itu kebajikan rakyat terus diutamakan yang mana kerajaan GRS-PH Plus telah melaksanakan Program Sentuhan Kasih Rakyat 2025 (SUKUR) dengan menyediakan bantuan tunai RM300 setiap bulan kepada penerima sehingga 31 Disember 2025.

“Percayalah Kerajaan Negeri sekarang GRS-PH PLus akan bertahan lama dan rakyat bijak berfikir yang mana boleh meneruskan kemajuan Sabah,” katanya sempena Program Jelajah Pemimpin Bersama Rakyat di Kampung Mendulong.

Tambahan itu, Yusof yang juga Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Sindumin yakin rakyat di kawasan itu bijak menilai parti mana yang mampu terus memperjuangkan mereka.

Program itu dilaksanakan selama empat hari sejak 25 Februari lepas bermula di Kampung Long Pasia diikuti Long Mio, Pa Kemadang, Iburu, Meligan, Ulu Bole, Lumampau dan terakhir di Bamban dan Mendulong.

Ia diselaraskan Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Sindumin diketuai Ketuanya Walter@Fikri Antahar.

Sempena program itu, selain menyantuni penduduk kampung, Yusof turut meninjau prasarana yang ada dan rosak yang memerlukan pembaikan terutama jambatan gantung, jalan kampung dan rumah penduduk kampung.

Beliau turut menziarahi penduduk kampung yang sakit.

Disamping itu, Yusof turut mengajak penduduk di kawasan Ulu Padas untuk terlibat dalam aktiviti pertanian bagi menjana pendapatan khususnya penanaman padi, kopi, sayur-sayuran dan buah-buahan antaranya nanas.

Ini kerana katanya, kawasan Ulu Padas mempunyai tanah yang subur untuk aktiviti pertanian.

Jelasnya, usaha itu juga dapat menampung permintaan mereka yang bekerja dan menetap di Sipitang menerusi pembangunan yang akan berlaku di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP).

“Warga Sipitang perlu bersedia dan merebut peluang yang wujud dengan kemasukan beberapa projek berasaskan minyak dan gas di SOGIP yang akan bermula tidak lama lagi,” katanya.

Turut serta dalam siri jelajah itu ialah, wakil parti komponen GRS dan PH Plus, Timbalan Ketua Bahagian PBS Sindumin, Tabed Sakai; Ketua Pemuda STAR Sindumin, Albert Kurus; AJK Bahagian Cabang PKR Sipitang, Arow Sinau; Ketua Pergerakan Beliawanis Gagasan Rakyat Sindumin, Nurfasiha Masri; Naib Ketua Pemuda Gagasan Rakyat Sindumin, Mohd Asyraf Munir; Setiausaha Bahagian Gagasan Rakyat Sindumin, Alfred Daniel; Ketua Penerangan Gagasan Rakyat Sindumin, Helmy Saidin; Ketua Zon Gagasan Rakyat Melamam, Shem Balang; Ketua Kampung Andrew Omar dan Pengerusi JKKK Kg Mendulong, Taie Sakai. – Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top