Kerajaan GRS Peruntuk RM20 Juta Sebagai Insentif Harga Getah

hajiji-bantuan-getah.jpg
Kongsi Bersama

TUARAN: Sejumlah RM20 juta diperuntukkan oleh Kerajaan negeri Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi pembayaran Insentif Harga Getah dalam Belanjawan Negeri 2022 untuk membantu pekebun kecil serta penoreh getah di negeri ini.

Insentif itu menyaksikan para pekebun kecil akan diberi tambahan harga getah sebanyak RM0.25 sekilogram bagi getah kentalan, demikian kata Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor.

Dalam pada itu, katanya lagi, Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) akan menyumbangkan subsidi sebanyak RM0.05 bagi sekilogram getah kentalan menjadikan jumlah tambahan harga bagi sekilogram adalah RM0.30 pada 2022.

Tambah beliau, dalam Belanjawan 2022, LIGS telah diperuntukkan sebanyak RM5.23 juta bagi perbelanjaan pembangunan, selain terus menerima geran bantuan kerajaan sebanyak RM11 juta.

“LIGS juga akan meneruskan pembangunan kawasan ladang melalui Program High Impact Project (HIP) Tanam Baru dan Tanam Semula Getah Secara Berkelompok yang melibatkan 2,333 pekebun kecil, serta terus melaksanakan program Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET) kepada pekebun-pekebun kecil getah dengan empat bidang usaha iaitu tanaman halia, nanas MD2, pisang nipah dan penternakan ikan talapia,” katanya.

Hajiji berkata demikian pada Majlis Pelancaran Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) di Dewan Persatuan Rumpun Bajau SAMA Sabah, Kampung Lok Batik, hari ini.

Ujar beliau, kerajaan GRS sentiasa peka dan prihatin terhadap masalah-masalah yang dihadapi oleh pekebun kecil dan penoreh getah di negeri ini serta sentiasa mencari jalan untuk membantu, terutama ketika negara masih bergelut dengan masalah COVID-19 sehingga golongan tersebut turut menerima kesan akibat pandemik ini.

Menyedari dan memahami situasi sukar ini, beliau berkata kerajaan negeri telah melaksanakan pelbagai bantuan termasuk Bantuan Sabah Prihatin (BSP) 1.0 sehingga 3.0 secara one-off yang mencecah bayaran lebih RM353 juta selain pemberian bakul makanan kepada semua rakyat yang terjejas termasuk pekebun kecil getah, bermula sejak akhir tahun lalu.

Menurutnya, selain COVID-19, para pekebun kecil juga terpaksa menghadapi keadaan cuaca yang tidak menentu terutamanya pada setiap akhir tahun sehingga menjejaskan pendapatan mereka.

“Justeru kerajaan persekutuan telah meluluskan Bantuan Musim Tengkujuh (BMH) kepada seluruh pekebun kecil getah di negara ini khasnya di Sabah sebagai usaha dan sokongan untuk meringankan beban mereka.

“Kerajaan negeri melalui LIGS akan mengagih-agihkan BMT yang berjumlah RM51,793,800 kepada 86,323 pekebun kecil di seluruh negeri dengan bantuan RM600 bagi setiap pekebun kecil.

“Dengan bantuan yang diberikan oleh kerajaan negeri dan Persekutuan, saya menyeru para pekebun kecil untuk terus mempertingkatkan produktiviti pengeluaran getah mereka.

“Penyaluran BMT ini merupakan salah satu usaha dan keprihatinan kerajaan untuk membantu pekebun kecil dan penoreh getah yang terjejas akibat musim tengkujuh selain akibat penularan pandemik COVID-19,” tegasnya.

Hajiji juga menyeru pengurusan dan semua lapisan kakitangan LIGS agar terus berusaha meningkatkan lagi kualiti dan keberkesanan perkhidmatan kepada para pekebun kecil getah terutama dalam aspek membangunkan tanah-tanah milik pekebun kecil sehingga kepada pemprosesan dan pemasaran getah-getah ke pasaran antarabangsa.

Katanya, LIGS juga perlu memikirkan kaedah baru lain yang boleh membantu pekebun kecil dan penoreh getah di negeri ini.

“Melalui pengurusan yang baik, saya percaya LIGS mampu membantu untuk memasarkan atau menjual hasil getah mereka,” katanya.

Yang turut hadir pada majlis itu ialah Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Joniston Bangkuai, Pembantu Menteri Kewangan II YB Tuan Jasni Daya, Pengerusi LIGS Tuan Edward Linggu dan SUT Kementerian Pertanian Datuk Dr Mariana Tinggal.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top