Kerajaan GRS Perlu Diperkukuh, Dikekalkan – Jasnih

Jasnih.jpg
Kongsi Bersama

TUARAN: Kerajaan Negeri Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang baharu berusia lebih setahun perlu terus diperkukuhkan selaras dengan mandat yang diberikan oleh rakyat, kata Pembantu Menteri Kewangan Negeri, Jasnih Daya.

Katanya, Kerajaan GRS juga perlu diperkuatkan dengan fokus utama membela kesejahteraan rakyat dan membangun negeri ini.

“GRS merupakan nadi kepada Kerajaan Negeri hari ini, justeru kita perlu terus perkukuhkan dan mantapkan kerajaan sedia ada.

“Ini juga selaras dengan seruan dan kehendak Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah dan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang mahu Kerajaan GRS terus dipertahankan dalam apa juga keadaan sekalipun,” kata Jasnih yang juga ADUN Pantai Dalit selepas mengadakan “walkabout” Tahun Baharu Cina 2022 dan mengagih-agihkan kad CNY dan limau mandarin di Pekan Tuaran, sini, pada Ahad.

Jasnih mengulas kenyataan Bung kelmarin yang mengulangi bahawa Kerajaan GRS harus dipertahankan dalam apa juga keadaan sekalipun, untuk mengelakkan berlaku pilihan raya negeri.

Jasnih yang menyokong kenyataan Bung menegaskan, fokus utama Kerajaan GRS ialah membangun negeri Sabah dan membela nasib rakyat ketika negeri dan negara dalam pasca pandemik Covid-19.

Katanya, pemimpin parti-parti komponan dalam GRS juga perlu kurangkan “politiking”, sebaiknya memberi fokus membantu rakyat dan membangun negeri.

Menurutnya, rakyat telah memberi mandat kepada GRS mentadbir negeri ini, dan mereka mahu pemimpin Kerajaan Negeri GRS menunaikan amanah ini dengan penuh tanggungjawab dan dedikasi.

“Sebarang usaha oleh mana-mana pihak tidak bertanggungjawab yang cuba untuk menggugat kestabilan politik sedia ada di Sabah dibawah Kerajaan GRS harus ditolak,” tegas Jasnih

Mengulas Retreat Wakil Rakyat dan pemimpin Kerajaan GRS yang akan diadakan pada bulan depan, beliau yakin ia  akan memantapkan lagi persefahaman, perpaduan dan kerjasama dalam keluarga GRS.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top