Kerajaan GRS Peka Terhadap Masalah Rakyat – Bung

IMG-20210214-WA0000.jpg
Kongsi Bersama

TONGOD : Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) adalah sebuah kerajaan prihatin yang sentiasa memikirkan masalah rakyat dan mencari jalan untuk menyelesaikannya, kata Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Timbalan Ketua Menteri itu berkata sejak menerajui kerajaan negeri , tumpuan utama GRS ialah melaksanakan pembangunan di samping memastikan aspek kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara

“Kita tidak mahu melihat rakyat susah, terus dibelanggu dengan masalah ketinggalan dalam aspek pembangunan infrastruktur ekonomi dan pendidikan, ” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan bantuan bakul makanan dan pelitup muka kepada penduduk Antilibon dan Keramuak dekat sini baru- baru ini.

Seramai 405 keluarga dari 12 kampung di Mukim Antilibon dan 250 orang keluarga di Kampung Keramuak menerima sumbangan masing-masing yang diwakili oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan kampung (JPKKK).

Turut hadir Setiausaha Tetap Kementerian Kerja Raya Mohd Jasmin Juplin ,Timbalan Setiausaha Tetap II Benedict Asmat dan Pengerusi Penyelaras BN Tongod Datuk Juhari Janan

Bung yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan berkata, pandemik Covid-19 antara lain membuktikan bagaimana kerajaan Persekutuan, yang diiktiraf sebagai antara negara terbaik dalam menguruskan wabak itu, begitu peka terhadap keluh kesah rakyat yang menghadapi kesukaran ketika negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Jelasnya ini dapat dilihat menerusi pelbagai inisiatif yang diumum dan dilaksana kerajaan seperti Pakej Rangsangan Ekonomi, Pelan Jana Semula Ekonomi (PENJANA), Bantuan Prihatin Nasional dan pakej Kita Prihatin berjumlah RM10 bilion selain bantuan-bantuan bakul makanan.

“Lebih jauh daripada itu kerajaan negeri meluluskan peruntukan RM100, 000 kepada 31 orang wakil rakyat dari pembangkang bagi membantu mereka menangani masalah di kawasan masing-masing berikutan penularan pandemik Covid-19, ” ujar Bung.

Dari aspek pembangunan infrastruktur Menteri Kerja Raya itu berkata kerajaan juga tidak meminggirkan keperluan pembangunan di kawasan yang diwakili oleh pembangkang .

Menurut beliau kerajaan mempunyai mekanisme untuk menyalurkan peruntukan pembangunan yang diperlukan oleh rakyat meskipun diwakili oleh pembangkang dimana peruntukan akan disalurkan ke pejabat daerah atau jabatan berkaitan untuk diselaraskan dan dilaksanakan.

Dalam isu lain Bung berkata keperluan pembangunan di kawasan tersebut seperti penambahbaikan sistem perhubungan jalanraya, bekalan air,api dan sistem perhubungan komunikasi akan diberikan perhatian agar rakyat di kawasan tersebut turut menikmati kemajuan sebagaimana yang dinikmati di kampung-kampung lain.

” Mengenai sistem perhubungan jalanraya ke kampung ini saya meminta jurutera daerah mengenal pesti jalan-jalan yang perlu diperbaiki dan dinaik taraf dan kita akan laksanakan peringkat demi peringkat mengikut peruntukan yang dapat disediakan oleh kerajaan” jelas beliau.

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top