Kerajaan GRS Kekal Hingga Habis Penggal – Hajiji

GRS.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan terus kekal sebagai kerajaan sehingga habis penggal sekalipun pilihan raya umum (PRU) diadakan tahun depan.

Beliau yang juga pengerusi GRS, turut menolak spekulasi bahawa gabungan itu akan menggesa untuk mengadakan pilihan raya apabila PRU diadakan di peringkat persekutuan nanti.

“Ya, kita akan teruskan mandat lima tahun ini dan tiada sebabnya kenapa kita tidak akan menghabiskan penggal kita,” katanya ketika ditanya sama ada kerajaan GRS akan meneruskan pemerintahan mereka walaupun PRU diadakan di peringkat persekutuan.

Kerajaan GRS yang terdiri daripada Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan PBS terbentuk selepas mendapat majoriti dalam pilihan raya negeri (PRN) tahun lalu.

Terdahulu, dalam ucapannya sempena ulang tahun pertama kerajaan GRS, di sini, hari ini, Hajiji berkata, permuafakatan antara parti dalam GRS menjadi kunci utama gabungan itu terus kekal sebagai kerajaan pada hari ini.

Beliau juga berharap, kebersamaan antara mereka akan melahirkan kesedaran bahawa setiap mereka adalah tonggak utama dalam kerajaan berkenaan.

“Sejak dari awal diamanahkan memimpin kerajaan ini, saya berpegang kepada prinsip dan semangat kerja berpasukan. Saya juga sedar saya tidak mendirikan kerajaan ini seorang diri, tetapi melalui permuafakatan rakan-rakan dalam GRS.

“Dalam menggerakkan kerajaan ini pula, permuafakatan GRS itu memerlukan dukungan kesepakatan penjawat awam negeri dan persekutuan, termasuk agensi awam lain.

“Pimpinan politik perlu menjunjung mandat yang diberikan rakyat sebagai pemimpin dalam kerajaan GRS, manakala penjawat awam wajib berpegang kepada ikrar taat setia perkhidmatan awam untuk bekerja sepenuh jiwa dan raga sebagai jentera serta tulang belakang kerajaan,” katanya. – FMT

 


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top