Kerajaan GRS Iktiraf Peranan Wanita Dalam Kepimpinan

jahid-1.jpg
Kongsi Bersama

TAMPARULI:Pengiktirafan kepada golongan wanita sebagai pemimpin masyarakat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tamparuli membuktikan potensi kepimpinan mereka dihargai.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Jahid Jahim berkata, pemilihan lebih kurang 30 peratus golongan wanita menjadi peneraju kepimpinan sama ada JPKK, Ketua Kampung, WKAN mahu pun KAN di kawasan Tamparuli, jelas menunjukkan pengiktirafan beliau terhadap golongan wanita.

“Pemilihan mereka adalah berdasarkan merit dan potensi kepimpinan yang tinggi, jika kita lihat mereka mampu memimpin lebih baik, apa salahnya kita beri mereka peluang,” katanya.

Beliau menyatakan demikian semasa menyempurnakan Majlis Penyampaian Watikah Ketua Masyarakat Cina (Kapitan), Ketua Kampung dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Dan Keselamatan Kampung (JPKK) kawasan Tamparuli, di Pondok Riadah Awam Tamparuli, sempena Riadah Santai Pemimpin, sini, pada Ahad.

Turut hadir Penolong Pegawai Daerah (ADO) Tamparuli, Herman Tunggiging, Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Tamparuli, Madin Anak, Setiausaha Politik Kepada Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Jilias Lintar dan Ketua Pergerakan Wanita Parti Bersatu Sabah (PBS), Datin Malianah Ugau.

“Kita percaya terhadap keupayaan wanita dalam memimpin, justeru itulah, kita telah memberi mandat kepada mereka untuk sama ada menjadi Pengerusi JPKK, Setiausaha JPKK, termasuklah Ketua Biro.

“Selain itu, kita juga ada Ketua Kampung, Wakil Ketua Anak Negeri, Ketua Anak Negeri, dan kakitantan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) selain lantikan lain dalam kalangan wanita di kawasan DUN Tamparuli,” katanya.

Daripada keseluruhan kepimpinan masyarakat yang terdapat di Tamparuli, lebih kurang 30 peratus golongan wanita telah terpilih menjadi pemimpin masyarakat.

“Sepanjang tempoh ini saya belum ada menerima sebarang aduan mengenai salah laku dan ketidakadilan dalam pentadbiran di bawah lantikan kita, saya harap ianya berterusan begini,” katanya.

Jahid yang juga Wakil Rakyat Tamparuli, menghargai semua pemimpin yang selama ini telah menjalankan tugasan mereka dengan baik.

“Teruskan prestasi kerja, disiplin, dan keperibadian yang baik agar nama baik kita pun terjaga,” katanya.

Beliau mengucapkan selamat menjalankan tugas kepada semua pemimpin masyarakat yang baharu dilantik, dengan harapan mereka menjadi cerminan kepada kerajaan sedia ada.

Tiga Ketua Masyarakat Cina yang dilantik ialah Tan Ah Pang, Ng Su Hin, dan Tee Kuan Hing @ Johnny Tee, Ketua Kampung dilantik di Kampung Tengkurangoh, KK Sylvester Dani, dan Pengerusi JPKK dilantik di Kampung Topokon, Yahir @ Mary Martin, dan Noor Azizah @ Rejibis Sakumil. – Jesselton TImes

 


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top