Kerajaan GRS Cemerlang Terajui Sabah Ke Arah Kestabilan Ekonomi, Politik Dan Sosial – TYT

Perasmian-DUN.jpeg

Tun Juhar diringi Hajiji tiba di bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pagi tadi.

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor cemerlang dalam menerajui pentadbiran negeri Sabah dan memastikan keadaan ekonomi, politik dan sosial Sabah kekal stabil, aman dan makmur terutamanya ketika negeri ini berhadapan dengan situasi getir semasa pandemik Covid-19.

Yang Di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dalam mengucapkan syabas dan tahniah atas kecemerlangan yang dicapai berkata, Ketua Menteri bersama barisan pimpinan Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), yang dalam masa setahun ini, telah banyak memperkenalkan dan menggubal dasar-dasar bagi memulihkan semula ekonomi negeri, meskipun kita masih berdepan dengan ancaman pandemik Covid-19.

“Segala dasar yang diperkenalkan itu diyakini akan menempatkan semula kedudukan negeri Sabah di landasan yang tepat ke arah kemajuan dan pembangunan yang holistik dan inklusif.

“Memerangi pandemik dan memulihkan semula ekonomi adalah agenda utama bagi Kerajaan Negeri ketika ini. Kebajikan dan kesejahteraan rakyat serta kemakmuran negeri, menjadi teras pentadbiran Kerajaan GRS pimpinan Ketua Menteri bersama barisan Jemaah Kabinet Negeri, sesuai dengan kehendak dan keperluan masa kini.

“Saya percaya, pelbagai inisiatif akan terus dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri bagi memastikan kelangsungan kemajuan dan pembangunan seperti yang disasarkan,” katanya semasa menyampaikan ucapan dasar sempena istiadat pembukaan Penggal Ketiga Sidang Dewan Undangan Negeri Sabah Ke-16 di sini hari ini.

Juhar turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan atas bantuan dan sokongan berterusan yang diberikan kepada Sabah untuk merancakkan pembangunan di negeri ini.

Katanya, kesungguhan Kerajaan Persekutuan untuk memajukan negeri Sabah tercermin melalui pemberian peruntukan pembangunan yang besar di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan Belanjawan Negara Tahun 2022.

“Kerajaan Negeri akan memastikan peruntukan ini dibelanjakan secara efisien untuk pelaksanaan pelbagai projek pembangunan berimpak tinggi meliputi pelbagai sektor di negeri ini.

“Selain itu, pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan pelbagai pakej rangsangan ekonomi oleh Kerajaan Persekutuan membantu merancakkan semula aktiviti bagi sektor-sektor ekonomi utama yang secara langsung mempercepatkan usaha pemulihan ekonomi negeri Sabah,” ujarnya.

Beliau berkata, sebagai langkah ke hadapan, Kerajaan Negeri beriltizam untuk melakukan yang terbaik bagi memastikan kestabilan ekonomi serta sosioekonomi rakyat Sabah dapat dipertingkatkan.

“Bagi mencapai momentum pertumbuhan ekonomi mampan, Kerajaan Negeri akan memperhebat usaha untuk melaksanakan pelbagai inisiatif dan projek berimpak tinggi dan menarik lebih banyak pelaburan merentasi semua sektor bagi merangsang pembangunan dan menjana lebih banyak peluang pekerjaan untuk rakyat negeri ini.

“Saya berkeyakinan tinggi bahawa penyertaan negeri Sabah di Ekspo 2020 Dubai dan penganjuran Sabah International Business and Economic Summit (SIBES) 2022 baru-baru ini akan menarik lebih banyak pelaburan berimpak tinggi dan merancakkan aktiviti perniagaan yang akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan tinggi ekonomi negeri Sabah pada masa hadapan,” katanya.

Beliau juga menggesa seluruh lapisan masyarakat untuk terus bersatu padu dan saling bekerjasama untuk kemajuan dan kecemerlangan Sabah yang tercinta.

“Marilah kita berdoa moga negeri kita ini akan terus maju, aman, makmur dan sejahtera. Semoga Allah SWT sentiasa memberkati dan melimpahkan kurnia serta rahmat-Nya kepada kita semua,” kata beliau.

 

Sumber: Warta Oriental

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top