Kerajaan GRS-BN Tidak Stabil?: Menjawab Kenyataan Calon PH Penampang

GRS-BN-dan-Ewon.jpg
Kongsi Bersama

Saya membaca dengan senyum kenyataan calon PH Penampang Datuk Ewon Benedick yang menyifatkan kerajaan GRS-BN sebagai tidak stabil.

Kayu pengukurnya, sebab pada hari penamaan calon berlaku pertembungan antara calon kedua-dua gabungan di kawasan tertentu.

“Walaupun Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Barisan Nasional (BN) berada dalam kerajaan yang sama, namun mereka sudah “berlanggar” sesama sendiri pada pilihan raya umum (PRU) kali ini.

“Bagaimana mereka boleh mentadbir sebuah kerajaan stabil jika pada hari penamaan calon mereka sudah kelihatan tidak stabil?” soalnya sebagaimana disiarkan oleh portal FMT hari ini.

Beliau dilaporkan membuat kenyataan itu ketika berucap pada program Jelajah Harapan Penampang di Tugu Datuk Peter Mojuntin Donggongon malam tadi.

Untuk makluman Ewon, sehari sebelum penamaan calon berlegar mesej di Whatsapp kononnya akan berlaku banyak ‘perang sesama sendiri’ antara GRS-BN di Sabah. Mesej itu cenderung membuat kesimpulan GRS ‘akan mengkhianati BN’ dengan meletakkan calon di kerusi-kerusi yang diperuntukkan untuk rakan kongsinya dalam kerajaan Sabah itu.

Malah ada pihak menjangkakan pertembungan akan berlaku sekurang-kurangnya di sembilan kerusi.

Dari awal mesej tersebut menunjukkan ada usaha melaga-lagakan GRS-BN. Ia mungkin ditulis oleh musuh GRS-BN, atau mungkin juga oleh kalangan dalaman yang tidak berpuas hati dengan pengagihan kerusi dan kerjasama yang terjalin.

Tidak mustahul juga dalangnya adalah pihak yang cemburu dan dengki terhadap hubungan akrab Pengerusi GRS Datuk Seri Hajiji dengan Pengerusi BN merangkap Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar.

Semuanya mungkin.

Tetapi apa yang terjadi? Pada hari penamaan calon hanya dua kerusi Parlimen yang menyaksikan ‘friendly fire’ antara GRS-BN. Satu di Beluran dan satu lagi di Ranau. Satu kerusi BN dilanggar oleh calon dari PN, induk parti-parti utama GRS dan satu lagi kerusi GRS dilanggar oleh calon PBRS, parti yang merupakan komponen BN.

Dua daripada 25 kerusi bukanlah jumlah yang besar. Anda tidak akan gagal peperiksaan jika hanya salah menjawab dua soalan daripada 25 soalan. Dengan hanya dua orang budak nakal, anda tidak boleh merumuskan semua 23 yang lain juga adalah budak nakal. Apabila dua ADUN UPKO keluar parti dan menjadi ADUN Bebas pada Jun 2020 yang lalu, tidak siapa pun boleh mengatakan semua ADUN UPKO tidak boleh dipercayai kerana mereka mungkin melompat parti.

Kes-kes melanggar ketetapan parti seperti ini bukanlah perkara baharu. Ia berlaku pada setiap kali pilihan raya umum. Dalam PRU15 ini bukan GRS-BN sahaja berdepan dengan masalah seorang dua ahli yang tidak mendengar kata. PKR yang hebat itu pun gagal mengekang bekas naib presidennya, Tian Chua daripada bertanding di Parlimen Batu. Dalam Bersatu, naib presidennya meletakkan jawatan dan keluar parti, dalam UMNO ada panglima-panglimanya merajuk dan bertanding atas tiket lawan, dalam DAP ada Wong Tack, yang memilih untuk bertanding atas tiket Bebas selepas namanya digugurkan oleh parti bagi memberi laluan kepada Rara (Young Syefura Othman) di Parlimen Bentong.

Jadi apa yang berlaku di Beluran dan Ranau tidak boleh dijadikan kayu pengukur terhadap kestabilan kerajaan GRS-BN. Lainlah kalau salah satu daripada rakan gabungan itu, GRS atau BN, meninggalkan kawan untuk membentuk kerjasama dengan pihak lain seperti yang dilakukan oleh UPKO selepas PRU14 dahulu!

 

Oleh: TULUS BUDIMAN

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top