Kerajaan GRS-BN Teruskan Program PANTAS, Percepat Pengeluaran Geran Tanah NT

hajiji-geran-NT.jpg

Gambar hiasan: Hajiji (kiri) menyerahkan hak milik tanah kepada wakil penduduk kampung.

Kongsi Bersama

TELUPID: Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah-Barisan Nasional (GRS-BN) meneruskan Program Perkhidmatan Tanah Adat Negeri Sabah (PANTAS) bagi menyelesaikan kerja-kerja pengukuran tanah adat negeri (NCR) di Sabah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Kerajaan Negeri komited untuk terus memberi tumpuan kepada pengeluaran geran tanah kepada rakyat negeri Sabah kerana ia menjangkau soal kehidupan orang kita tanpa mengira suku bangsa, anutan mahupun fahaman politik.

“Program PANTAS yang telah dilaksanakan sejak tahun 2011, kini diteruskan oleh Kerajaan GRS-BN kerana menyedari kepentingan pengeluaran geran tanah kepada rakyat negeri ini, khususnya anak negeri di luar bandar, termasuk di daerah Telupid.

“Pendekatan untuk meneruskan Program PANTAS ini juga untuk memastikan pengeluaran geran berstatus anak negeri (NT) untuk tanah NCR yang sudah lama diduduki dapat dipercepatkan bagi mengatasi kelewatan dalam proses permohonan biasa sebelum ini”, katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Geran Tanah Daerah Telupid, Pelancaran Buku Kajian Pelan Pembangunan Daerah Telupid (Aspirasi Daerah Telupid (2022-2030) dan merasmikan bangunan baharu Majlis Daerah Telupid di Dewan Majlis Daerah Telupid, pada Sabtu.

Hajiji menyerahkan sebanyak 181 geran tanah NT melibatkan keluasan 1,294.296 ekar dan warta simpanan kampung iaitu Tapak Kediaman Anak Negeri Kampung Telupid Batu 4, seluas 201.336 ekar.

“Kerajaan mahu supaya proses pengeluaran geran tanah ini diperkasa dan diperhebatkan lagi tahun ini. Pada tahun 2021, Kerajaan Negeri telah berjaya mengukur tanah untuk golongan anak negeri dengan jumlah keluasan 15,511.52 hektar, dan mewartakan sebanyak 80 kawasan sebagai Tanah Simpanan Perkampungan Khas untuk anak negeri”, tegasnya. – sabahmedia

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top