KOTA KINABALU: Pertama kali sejak merdeka Kerajaan Negeri Gabungan Rakyat Sabah – Barisan Nasional (GRS – BN) telah melakar sejarah baharu dengan kutipan hasil tertinggi negeri berjaya menembusi angka RM 5 bilion dengan jumlah keseluruhan kutipan bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Disember 2021 sebanyak RM 5.449 bilion.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, antara fokus Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) adalah untuk meningkatkan hasil negeri melalui pelbagai pendekatan termasuk strategi percukaian.
“Kita mensasarkan pertambahan hasil negeri dengan penerokaan sumber baharu, inisiatif-inisiatif pelaburan dan pelbagai aktiviti ekonomi lain melalui pembayaran seperti cukai, premium tanah dan royalti.
“Sejajar dengan usaha menggalakkan penglibatan badan berkanun dan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLCs) dalam sektor ekonomi, kerajaan juga akan mempertimbangkan strategi pemerkasaan amalan tadbir urus korporat,” kata Hajiji dalam ucapan perasmiannya sempena Majlis Sambutan Setahun Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) Pelan Pembangunan SMJ 1.0 (2021-2025) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu pada Selasa.